Jalan Ditutup Bagi Memusnahkan Bom Lama Di Sandakan Petang Ini


SANDAKAN - Beberapa batang jalan akan ditutup sementara ketika pemusnahan sebutir bom lama di tanah lapang bersebelahan Pejabat Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) di sini dilakukan pada sebelah petang.

Ketua Polis Daerah Sandakan, Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd Hamin berkata, kerja-kerja pemusnahan akan bermula pukul 3 petang hingga 4 petang.

Beliau berkata, jalan yang akan ditutup ialah Jalan Lintas Utara daripada Bulatan Nasalim hingga Bulatan Helang dan Jalan Kem Tentera berhadapan Pejabat JPJ.

Sehubungan itu, menurutnya waktu operasi Pejabat JPJ berkenaan juga akan ditutup mulai 3 petang.

Pengguna jalan raya dinasihatkan agar menggunakan jalan alternatif lain sementara penduduk setempat tidak perlu merasa panik dan menjauhi kawasan berkenaan, katanya dalam satu kenyataan.

Bom tinggalan Perang Dunia Kedua itu seberat 269 kilogram ditemui pada Jumaat lalu ketika kerja-kerja mengorek tanah untuk pembinaan jalan raya dilakukan. - Bernama