ADA sebilangan daripada kita yang sanggup tidak keluar bekerja apabila gagal mendapat pekerjaan yang lokasinya berdekatan dengan rumah.
Jika jarak bukan menjadi faktor utama, ada pula yang memberi alasan tentang cara pengangkutan ke tempat kerja. Alasan tidak memiliki motosikal, kereta mahupun akses pengangkutan awam, sering menjadi sebab seseorang itu keberatan untuk bekerja di sesuatu tempat.
Lain pula ceritanya bagi tidak bagi Justin Korva, dari Rockwell, Texas. Lelaki berusia 20 tahun itu tidak keberatan untuk berjalan kaki 4 kilometer setiap hari untuk ke tempat kerjanya.
Namun, nasib Korva berubah apabila dia dihadiahkan sebuah kereta oleh orang yang tidak dikenalinya.
Semuanya bermula selepas Korva ditumpangkan oleh seorang lelaki bernama Andi Mitchell untuk ke tempat kerjanya.
Selepas mendengar kisah Korva, Mitchell memuat naik gambar dan cerita Korva sebagai satu perkongsian ke akaun Facebook.
Tanpa disangka, ramai yang menawarkan diri untuk membantu dan sebuah tabung segera diwujudkan.
Dalam masa dua hari sahaja, tabung itu berjaya mengumpul AS$5,500 (RM23,600) dan wang berkenaan digunakan untuk membelikan Korva sebuah kereta Toyota Camry model 2004.
Bukan sahaja kereta, Korva turut menerima sumbangan perlindungan insurans selama setahun dan kad isian petrol bernilai AS$1,000 (RM4,300).
Harga keikhlasan sememangnya tidak dapat diukur dengan wang, namun keluhuran orang ramai membantu mungkin ganjaran kepada keikhlasan Korva mencari rezeki selama ini.
Sumber : Astro Awani