Jangan Fikir Soal Dicalonkan Semula Atau Tidak - MB Kedah


ALOR SETAR -Walaupun senarai calon Barisan Nasional (BN) bagi Negeri Kedah pada pilihan raya umum akan datang masih belum lagi dimuktamadkan, wakil rakyat BN diminta  memberi tumpuan di kawasan masing-masing sehingga Parlimen dan Dewan Undangan Negeri  (DUN) dibubarkan.

Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, soal siapa calon PRU14 adalah perkara kedua kerana yang paling utama ialah  memberikan  kemenangan bagi 36 DUN dan 15 kawasan Parlimen.

"Siapa juga calon kita kena terima kerana mereka mewakili BN," kata Ahmad Bashah.

Namun begitu, Menteri Besar berkata akan terdapat perubahan kecil dalam PRU akan datang  mengenai calon dan ia perlu diterima oleh semua pihak.

Sehubungan itu, kata Ahmad Bashah, jentera pilihan raya, ketua bahagian, penyelaras di kawasan-kawasan  yang dimenangi pembangkang pada PRU sedang digerakkan di setiap pusat daerah mengundi (PDM).

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri Kedah berkata demikian kepada Kedahnews selepas mengahadiri Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri di Taman Saga, Alor Mengkudu, di sini semalam.

Beliau juga meminta setiap setiap daerah mengundi lebih kerap menganjurkan majlis bersama rakyat termasuk sarapan pagi setiap bulan bagi mengeratkan hubungan para pengundi.

Sementara itu, kata Ahmad Bashah, berdasarkan sambutan yang diberikan rakyat kepada program UMNO dan parti komponen BN di negeri ini, sokongan rakyat kepada parti pemerintah bertambah termasuk daripada para pengundi Cina.

" Kebanyakan mereka kini telah sedar kesilapan lalu kerana memilih wakil daripada parti pembangkang, sedangkan yang membantu rakyat sepanjang masa adalah kerajaan, pemimpin UMNO, MCA, MIC dan Gerakan, " kata Ahmad Bashah. - Kedahnews.com