Jangan Gadai Masa Depan Pilih Parti Bercelaru - PM


KLUANG - Datuk Seri Najib Razak meminta rakyat negara ini supaya tidak menggadai masa depan negara dengan memilih parti bercelaru mentadbir negara. 

Perdana Menteri berkata, rakyat seharusnya memilih parti yang kukuh untuk mentadbir negara bukannya parti bercelaru yang tidak diketahui 'bosnya'. 

Beliau seterusnya menggariskan empat fakta mengapa rakyat perlu terus memilih Barisan Nasional (BN) mentadbir negara berikutan pembangunan serta pencapaian menakjubkan yang dicapai negara termasuk di Johor. 

"Pertamanya, kerajaan berjaya mencapai keamanan dan keselamatan berterusan. Ia adalah tonggak utama dan jika tidak, kerajaan tidak dapat lakukan apa-apa untuk rakyat. Menurut Institut Ekonomi dan Keamanan (IEP), Malaysia berada pada tempat 29 paling aman di dunia. 

"Keduanya, kita ada kestabilan politik sehingga mewujudkan kerajaan yang kukuh selama 60 tahun yang kita boleh bersandar, bergayut dan letak harapan. Ini perlu kita jaga dan pertahankan. 

"Ketiganya, kita ada misi, visi dan perancangan sehingga mampu menyediakan pembangunan bersepadu. Isnin ini, saya akan melancarkan Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang antara sistem pengangkutan termoden di Asia Tenggara. 

"Keempatnya pula, kita ada kemampuan untuk laksanakannya bukan setakat omong kosong. Bukan macam pembangkang janji macam-macam tapi habuk pun tak ada," katanya. 

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM) Aidilfitri 2017 di Stadium Mini, Taman Sri Lambak, Sembrong, dekat sini, semalam. 

Yang turut hadir, Datin Seri Rosmah Mansor; Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga Ahli Parlimen Sembrong serta Menteri Pelancongan dan Kebudayaan, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz. 

Sementara itu, Perdana Menteri turut meluluskan pembangunan 500 unit Projek Perumahan Rakyat (PPR) menerusi dua fasa mulai tahun hadapan di Paloh, dekat sini. 

Katanya, kerajaan menerusi Syarikat Perumahan Negara Bhd (SPNB) akan membina 500 unit rumah generasi kedua FELDA di Kahang. "Saya juga meluluskan permohonan Pondok Polis Taman Sri Lambak dinaik taraf kepada Balai Polis," katanya.

Sumber: BH Online