Jangan Undi Pembangkang Yang Diterajui DAP Jika Mahu Hak Melayu Dikekalkan - Shahidan


JITRA - Hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera tidak akan lagi menjadi keutamaan jika Pakatan Harapan yang diterajui DAP  diberi kuasa untuk memerintah negara ini.

Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shahidan Kassim berkata, orang Melayu tidak boleh mempertaruhkan undi mereka kepada parti pembangkang pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) untuk mengelak DAP menerajui pentadbiran negara.

Perkara itu tidak boleh diambil ringan kerana kemenangan Barisan Nasional (BN) dan UMNO untuk membentuk kerajaan Persekutuan sekali gus memartabatkan hak keistimewaan orang Melayu dan Bumiputera, kata Shahidan.

Beliau yang juga Menteri Di Jabatan Perdana Menteri mengingatkan perkara itu kepada ahli parti dan orang Melayu semasa merasmikan penutupan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Kubang Pasu dekat sini, semalam.

Turut hadir Ketua Wanita UMNO bahagian itu Datuk Khalidah Adibah Ayob.

"Jangan bagi (undi) kepada pembangkang... kalau pembangkang menang, sudah tentu diketuai DAP dan kita semua duduk di bawah telunjuk DAP," katanya.

Menurut Shahidan lagi, realitinya pengundi perlu membuat pilihan bijak dengan memilih wakil rakyat daripada parti yang boleh membentuk kuasa dan jemaah menteri yang mampu menjaga kebajikan rakyat.

Beliau bagaimanapun menaruh kepercayaan kepada pengundi pada pilihan raya umum akan datang untuk menilai kembali rekod baik kerajaan Persekutuan dan negeri yang ditadbir BN dan UMNO yang lebih mengutamakan kepentingan serta kesejahteraan hidup  seluruh rakyat.

Walaupun bahagian Kubang Pasu pernah dipimpin oleh bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan kini beliau mengetuai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) dan Pakatan Harapan, ahli UMNO bahagian berikrar untuk menolak pemimpin itu yang kini mahu menyingkirkan parti yang pernah mengangkatnya selama lebih 22 tahun. - Kedahnews.com