Janji Ariff Farhan Kepada Nidzam Adhza Malam Ini

ALOR SETAR - Pemain cilik pasukan Kedah, Ariff Farhan dianggap sebagai antara sumber kekuatan skuad Helang Merah terutama sekali dalam sepanjang tahun lalu hingga membawa gelaran juara kepada pasukan tersebut.

Namun begitu, kecederaan lutut yang dialami pemain muda berusia 21 tahun itu telah memberi mimpi buruk kepadanya kerana terpaksa berehat panjang.

Namun begitu, rezeki dan peluangnya untuk beraksi bersama pasukan Kedah masih cerah kerana telah pulih daripada kecederaan dan masih mendapat kepercayaan Ketua Jurulatih, Mohd Nidzam Adzha Yusoff.

Beraksi dalam dua perlawanan sebelum ini, Ariff Farhan kini kembali yakin apabila berjaya membawa kemenangan kepada pasukannya.

"Selepas berehat panjang, keyakinan saya mula kembali apabila berjaya membantu Sandro Da Silva menjaringkan gol.

"Sebelum itu, takut juga kalau cedera balik sebab doktor dah bagi nasihat. Tapi sekarang saya bertambah yakin dan tahu apa yang perlu dilakukan.

"Untuk perlawanan menentang Melaka United, saya yakin dapat beraksi dengan lebih baik sepanjang permainan, saya akan balas kepercayaan yang diberikan jurulatih," katanya.

Bagaikan bulan jatuh ke riba, pemain harapan Kedah ini telah disenaraikan semula pengendali skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee bagi mengharungi saingan sukan SEA.

Peluang keemasan ini pastinya akan dimanfaatkan sepenuhnya oleh Ariff Farhan dalam misi untuk membantu Kedah dan sekali gus menghadiahkan pingat untuk skuad sukan SEA nanti. - Kedahnews.com