Jemaah Haji Jangan Lupa Vaksin


Musim haji tiba lagi, kali ini lebih 30,000 orang rakyat Malaysia dijangka menunaikan ibadah haji di Mekah tahun ini. Esok bermula penerbangan pertama bagi jemaah menunaikan rukun Islam ke lima.

Jemaah haji yang kebanyakannya warga emas perlu mempunyai kesihatan yang baik dari segi fizikal dan spiritual kerana banyak aktiviti perlu dilakukan seperti tawaf, saie, wukuf, melontar, mabit dan wukuf yang banyak melibatkan aktiviti fizikal seperti jalan kaki.

Ini ditambah dengan kesesakan jutaan jemaah dari seluruh dunia boleh meningkatkan risiko jemaah untuk mendapat pelbagai jangkitan yang boleh membawa maut seperti wabak meningokokus invasif (IMD).

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Teknikal program Immunise4Life (IFL), Datuk Professor Dr. Zulkifli Ismail, IMD boleh berjangkit daripada individu kepada individu lain menerusi titisan cecair daripada saluran pernafasan semasa batuk, selsema atau bersin terutama ketika dalam jarak dekat.

“Penyakit itu menyumbang kadar kematian sekitar 10 hingga 15 peratus dalam kalangan mereka terkena jangkitan. Dalam pesakit yang sembuh, ramai mengalami kecacatan kekal seperti hilang anggota badan, pekak, masalah sistem saraf atau kerosakan otak.

“Kini kerajaan Arab Saudi mewajibkan semua jemaah haji mendapatkan vaksin untuk mencegah IMD. Adalah penting untuk kita memahami mengapa langkah ini diambil,” katanya semasa majlis pelancaran Kempen ‘Bawa Pulang Barakah, Elak Mudharat’ di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Prof Dr. Zulkifli berkata, sebab itulah program Immunise4Life telah bekerjasama dengan Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM) dan GlaxoSmithKline (GSK) Pharmaceutical Sdn. Bhd. Malaysia untuk melancarkan kempen berkenaan bagi memberi kesedaran mengenai kepentingan vaksin dalam kalangan bakal jemaah haji.

Kempen ini bakal disampaikan menerusi pelbagai bentuk platform pendidikan termasuk video dalam talian, risalah informatif, poster klinik dan pos di laman Facebook www.facebook.com/immunise4life.

Sementara itu bekas Ketua Pasukan Perubatan Tabung Haji, Datuk Profesor Dr. Abdul Razak Abdul Muttalif, menjelaskan kira-kira 135,000 kematian di seluruh dunia mempunyai kaitan dengan penyakit meningokokus invasif setiap tahun. Di negara yang mempunyai masalah penyakit endemik tinggi, ia boleh menjadi beban serius kepada kesihatan awam.

Beliau yang juga Perunding Kanan Respiratori menambah, wabak IMD disebabkan bakteria Neisseria meningitidis.

“Penyakit ini boleh mengakibatkan meningitis, satu bentuk jangkitan serius ke atas meninges iaitu membran menyelaputi otak dan saraf tunjang.

“Jika penyakit dibiarkan tanpa rawatan, boleh menyebabkan kerosakan otak teruk dan kematian bagi 50 peratus kes. Bakteria itu juga boleh mengakibatkan masalah sepsis iaitu jangkitan darah, pneumonia dan pelbagai jangkitan lain,” katanya.”

Presiden, Persatuan Perubatan Islam Malaysia (IMAM), Dr. Jeffrey Abu Hassan berkata, jemaah haji perlu melindungi diri daripada penyakit berjangkit seperti meningokokus bukan sahaja untuk diri sendiri supaya ibadah tidak terganggu, tetapi juga memastikan mereka tidak membawa penyakit.

“Kesihatan diri dan ahli keluarga adalah satu amanah Allah. Adalah tanggungjawab kita sebagai umat Islam memastikan kita mengambil langkah pencegahan penyakit meningokokus yang boleh membawa maut serta mengelak dari menyebarkannya.

“Pengambilan vaksin meningokokus kuadrivalen serta penjagaan kebersihan diri dan persekitaran adalah langkah pencegahan yang penting,” katanya.

Apakah Meningokokus?

Penyakit akut berbahaya yang berpunca daripada bakteria Neisseria meningitidis atau meningokokus.

Bakteria ditemui dalam saluran pernafasan manusia.

Penyakit meningokokus boleh menyebabkan:-

1. Jangkitan Meningis: 1 daripada 10 kes membawa kematian

2. Jangkitan Sepsemia: 4 daripada 10 kes membawa kematian

Jemaah haji seharusnya berazam untuk pulang ke rumah dalam keadaan yang kuat dari segi spiritual dan fizikalnya serta ibadah haji diterima oleh Allah SWT. Mereka perlu mengelak daripada dijangkiti atau menjadi pembawa bakteria meningokokus dengan mendapatkan vaksin meningokokus”.

“Kami berharap dapat melindungi jemaah haji dalam perjalanan suci ini dan melindungi mereka yang tersayang, ” kata Dr. Jeffrey.

Tanda–tanda dan gejala

• Kematian dalam masa beberapa jam

• Penyakit meningokokus invasif boleh menyebabkan kematian dalam masa 24 jam selepas tanda atau simptom awal muncul.

• Ketahui simptom-simptom agar dapat mendapatkan rawatan awal.

• Sukar dikesan pada peringkat awal kerana simptom sama seperti penyakit lain seperti demam selsema.

 Sumber: Utusan Online