KUALA LUMPUR - Masalah kelewatan memperoleh visa oleh jemaah haji yang terpilih menunaikan ibadat itu tahun ini akan diselesaikan dalam masa terdekat.
Bahagian Hal Ehwal Awam dan komunikasi Korporat Tabung Haji (TH), dalam kenyataan berkata, sememangnya wujud kelewatan pengeluaran visa itu kerana kedutaan Arab Saudi ketika ini terpaksa mengendali permohonan tinggi jemaah dari seluruh dunia.
"Bagaimanapun, TH dan kedutaan Arab Saudi sentiasa bekerjasama dan memantau setiap masa untuk mendapatkan dan mencetak visa jemaah haji yang terbabit termasuk pada hari cuti hujung minggu.
"TH optimis masalah ini dapat diselesaikan dalam masa yang terdekat dan semua jemaah terpilih akan meneruskan perjalanan dan urusan mereka akan dipermudahkan, Insya-Allah, " katanya.
Katanya, jemaah haji yang terjejas ekoran kelewatan itu merangkumi kurang daripada satu peratus jemaah yang terpilih.
TH berkata, kelulusan mendapatkan visa perlu melalui proses terperinci untuk setiap jemaah haji termasuk data peribadi; perjanjian tempat penginapan di Makkah dan Madinah; penerbangan; pengangkutan dan sajian serta butiran bayaran kepada pihak berkuasa Arab Saudi.
"TH juga memohon maaf atas kesulitan yang dihadapi oleh jemaah haji.
"TH juga ingin menasihati supaya jemaah haji yang sedang menghadapi masalah kelewatan visa untuk bersabar kerana proses mendapatkan visa haji sedang giat dijalankan, " kata kenyataan dikeluarkan Bahagian Hal Ehwal Awam dan komunikasi Korporat TH.
Sumber: BH Online