Jenama Mak Cun Dipilih Tembusi Minggu Fesyen Itali


ROM – Aura jenama Mak Cun yang dimiliki pelakon dan pengarah, Erma Fatima mengharumkan nama Malaysia apabila dipilih berada dalam acara Torino Fashion Week, Itali baru-baru ini.

Pemilik nama penuh Fatimah Rahmad Ali itu yang kini berada di situ memberitahu, undangan tersebut pada mulanya diterima ketika dia terlibat dengan Asia Islamic Fashion Week di Kuala Lumpur, sekitar April lalu.

“Waktu itu, Alia Khan daripada Islamic Fashion Council datang menawarkan peluang untuk ke Itali dan saya terima walaupun ia mungkin agak mengganggu perjalanan ibadah puasa dan sambutan hari raya.

“Kasihan kepada keluarga saya tetapi untuk pengalaman dan mahu letak jenama Mak Cun ke peringkat global, saya ambil peluang tersebut,” katanya merujuk jenama itu kepada program komedi popular Mak Cun di stesen TV3.

Erma sebenarnya berada di sana sehari selepas sambutan Syawal dan akan pulang semula ke tanah air pada 6 Jun. Dia menjadi tumpuan kritikan ekoran program Raya Sakan Mak Cun yang ditayangkan TV3 pada 24 Jun lalu.

Rancangan khas sempena Aidilfitri itu ditempelak pelbagai pihak kerana dia dan barisan pelakon drama siri Mak Cun tersebut didakwa cuba memperlekehkan loghat Utara sehingga ada netizen mahu menampar muka Erma.

Mengulas dengan lebih lanjut, selain jenama Mak Cun, Erma memberitahu bahawa Insaniah dan Dyan adalah jenama tempatan yang turut berpeluang memperagakan koleksi busana mereka pada minggu fesyen tersebut.

Ditanya sama ada dia memang mahu lebih serius lagi dalam dunia fesyen antarabangsa, Erma, 49, mengakui bahawa apa yang dilakukan kini adalah hanya kerana mengisi minat dirinya semata-mata.

“Saya bukan mahu jadi pereka fesyen tetapi saya lakukan ini kerana saya suka fesyen. Memang tiada niat serius. Namun dapat peluang ini merupakan satu pengalaman dan jika Allah buka ruang lagi, saya akan terima,” jelasnya.

Selain fesyen, Mak Cun juga dilaporkan sudah pun berkembang pesat dengan memiliki kedai runcit Mak Cun Mart ekoran populariti drama siri Mak Cun yang kini sudah memasuki musim ketiga tayangannya di kaca televisyen.

“Saya tidak pernah pun paksa untuk orang suka tonton cerita Mak Cun, begitu juga untuk paksa orang menghargai apa yang saya pernah lakukan pada industri atau negara. Apatah lagi orang seni ini jarang dihargai semasa hidup.

“Mungkin esok apabila saya sudah mati, baru orang akan mula kata Mak Cun adalah karya agung sebagai contoh. Penonton nak marah atau tak suka, saya terima sahaja. Saya cuba baiki apa yang mampu,” jelasnya.

Cuma menurut Erma, jika komen tersebut adalah melampau-lampau sehingga menghina dan mengeji dirinya, dia mengambil langkah untuk tidak melayannya kembali. – Agensi