Jerebu: Malaysia Sedia Bantu Tangani Kebakaran Hutan Di Indonesia


KUALA LUMPUR - Malaysia sedia menghantar anggota dan pegawai bomba ke Indonesia untuk membantu memadam kebakaran hutan dan ladang di republik itu.

Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar (gambar kecil) berkata, kerajaan memandang serius masalah berkenaan yang boleh menyebabkan jerebu dan sedia menyalurkan bantuan pada bila-bila masa.

"Saya sudah berbincang dengan Datuk Seri Shahidan Kassim yang mengawal selia bomba dan juga pasukan SMART (Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia), dia sudah memberi jaminan bahawa kita sentiasa bersiap sedia pada bila-bila masa sahaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Larian Terowong SMART 2017, di sini hari ini.

Baru-baru ini, Agensi Mitigasi Bencana Indonesia (BNPB) memberi amaran mengenai peningkatan ancaman kebakaran hutan berikutan musim kemarau yang dijangka bertambah buruk malah beberap kawasan panas telah dikesan di Aceh menyebabkan wilayah itu mengalami jerebu.

Bagaimanapun, Agensi Pemulihan Tanah Gambut Indonesia dilaporkan memberi jaminan bahawa negara jiran seperti Malaysia dan Singapura tidak mengalami jerebu kerana pihaknya telah mengambil langkah baharu untuk menghentikan kebakaran hutan.

Wan Junaidi berkata, beliau telah bertemu gabenor Riau dan Jambi selain merancang untuk berjumpa dengan gabenor Acheh bagi membincangkan soal bantuan itu.

Beliau turut berterima kasih kepada Indonesia atas tindakan sistematik dan agresif dalam menangani jerebu dan yakin langkah proaktif yang diambil republik itu mampu menangani masalah jerebu sekali gus menjadikan negara ASEAN bebas jerebu menerusi Pelan Tindakan Bebas Jerebu menjelang 2020.

Terdahulu, Wan Junaidi melepaskan kira-kira 1,800 peserta larian anjuran Kementerian Sumber Asli dan Alam Sekitar melalui Jabatan Pengairan dan Saliran yang diadakan bersempena sambutan ulang tahun ke-85 penubuhan jabatan itu dan ulang tahun ke-10 pengoperasian Terowong SMART.

Ini merupakan kali kedua program itu dianjurkan sejak Mac 2007. - Bernama