KUALA KEDAH - Jihad membantu rakyat diteruskan di bulan Syawal oleh UMNO bahagian Kuala Kedah bagi menunaikan tanggungjawab parti dan pemimpin terhadap masyarakat yang tidak berkemampuan.
Naib Ketua Ketua UMNO Bahagian, Datuk Abdul Mutalib Harun berkata, pemberian itu diharap akan menceriakan kumpulan sasar termasuk mereka yang kurang upaya itu untuk sama-sama menyambut Syawal yang mulia ini.
" Setidak-tidaknya mereka rasa kehidupan harian mereka diambil berat dan tidak dilupakan oleh kerajaan negeri," kata Mutalib kepada Kedahnews selepas menyampaikan bantuan keperluan makanan kepada warga emas di Kampung Keluncur di sini baru-baru ini.
Sepanjang Ramadan, UMNO bahagian yang diketuai oleh Datuk Abdullah Hasnan Kamaruddin bersama jawatakuasannya juga menjelajah di setiap cawangan untuk mengagihkan bantuan Barakah yang diamanahkan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.
Kesempatan program ziarah kasih itu, Abdullah juga mengambil kesempatan untuk mendengar rungutan selain mendapatkan maklumbalas tentang masalah yang dihadapi oleh penduduk kampung, kata Mutalib.
Sementara Mutalib bersama Pemuda dan Puteri UMNO bahagian turut memenuhi jemputan menghadiri beberapa majlis rumah terbuka termasuk memeriahkan majlis jamuan Hari Raya Aidil bersama masyarakat Kampung Keluncur.- Kedahnews.com.