KUALA NERUS - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan memasang 50 lagi kamera Sistem Keselamatan Kesedaran Automatik (Awas) di seluruh negara menjelang akhir tahun ini, kata Ketua Pengarahnya Datuk Seri Nadzri Siron.
Beliau berkata kamera terbabit akan dipasang di lokasi strategik yang telah dikenal pasti dalam usaha jabatan itu menurunkan kadar kemalangan maut.
“Setakat ini 21 kamera telah dipasang," katanya selepas merasmikan Majlis Pembukaan dan Perasmian Kursus Kecemerlangan serta Sukan JPJ 2017 di Pusat Konvensyen Duyong Marina Resort, di sini malam Jumaat.
Seramai 1,482 pegawai dan anggota JPJ melibatkan 15 kontinjen mengambil bahagian dalam kejohanan yang bermula Khamis lalu sehingga esok dengan 10 acara dipertandingkan, bertempat di Universiti Malaysia Terengganu.
Selain itu, Nadzri berkata JPJ akan turut memberikan penekanan terhadap kesalahan tidak mematuhi lampu isyarat yang semakin meningkat kebelakangan ini berikutan terdapatnya aduan menerusi media sosial.
Katanya pengguna motosikal dikesan paling tinggi mencatatkan kesalahan tersebut yang merupakan tujuh kesalahan utama yang mengundang kemalangan maut.
"Operasi memang kita adakan setiap masa namun kali ini kita tekankan kepada Ops Lampu merah yang dilaksanakan sejak 12 Julai lalu ekoran kegagalan pengguna mematuhi peraturan tersebut.
"Saman akan terus dikenakan kepada pesalah trafik yang gagal mematuhinya dan kompaun maksimum RM300 boleh dikenakan," katanya.
Beliau berkata setakat bulan ini sahaja 300 penunggang motosikal maut manakala 299 lagi cedera kerana tidak mematuhi lampu isyarat.
Menurutnya sepanjang Ops Lampu Merah dijalankan dari 12 hingga 20 Julai, sebanyak 1,492 saman dan 223 temu siasat menerusi penyamaran bergambar dikeluarkan.
"Sebanyak 1,504 tindakan diambil ke atas penunggang motosikal, kereta (420), bas (9), kenderaan perdagangan (99) dan lain-lain (701)," katanya. -Bernama