JR Plus BN Tangkis Fitnah Pembangkang, Dekati Pengundi Setiap Kawasan - MB Kedah


ALOR SETAR  - Semua jentera UMNO dan parti komponen Barisan Nasional (BN) di negeri Kedah diminta untuk bekerja lebih gigih bagi menangkis segala fitnah yang dilemparkan parti pembangkang kepada kerajaan dan parti yang memerintah.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negerim  Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah berkata, jentera UMNO perlu bekerja keras, termasuk parti komponen MCA, MIC dan Gerakan untuk mendekati pengundi di kawasan masing-masing. 

"Kita telah menggerakkan Jalinan Rakyat (JR) Plus dalam usaha untuk meyakinkan rakyat di negeri ini bahawa BN masih mampu membawa kebaikan dan masa depan negara yang lebih  kepada mereka," kata Ahmad Bashah.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak sebelum ini melancarkan Jalinan Rakyat (JR) Plus pada April lalu bagi menggerakkan jentera yang menggabungkan kekuatan di semua struktur dan sayap bagi menghadapi PRU14.

Ahmad Bashah yang juga Pengerusi BN negeri berkata, JR Plus merupakan salah satu daripada inisiatif parti untuk memantapkan lagi jentera Barisan Nasional sebelum tiba Pilihan Raya Umum ke-14.

" Kita mahu mendapatkan keyakinan seluruh rakyat terhadap UMNO dan BN  kerana kita kini sedang berdepan dengan cabaran yang hebat berbanding PRU sebelum ini, " kata Ahmad Bashah berucap merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita UMNO Bahagian Alor Setar di sini, semalam.


Menurut beliau lagi, semua pemimpin parti termasuk anggota JR perlu  menjelaskan kepada rakyat kesukaran yang dialami semasa negeri ini kalah.

"Kita juga perlu yakinkan rakyat bahawa UMNO/BN mampu membawa kebaikan ketika pelbagai tuduhan negatif yang dilemparkan oleh parti pembangkang sekarang," katanya. 

Ahmad Bashah yang juga Menteri Besar menjelaskan gerak kerja itu perlu sentiasa berjalan bagi menyampaikan maklumat kepada rakyat termasuk segala usaha yang telah dilakukan BN dalam menjaga kebajikan rakyat selain mengekang usaha pihak pembangkang yang cuba mengambil kesempatan.

"Kita kena sentiasa bekerja kalau tidak rakyat akan menerima musibahnya.. Kita pernah ada pengalaman kalah sebelum ini, jadi kita tidak mahu lagi hilang kuasa," ujarnya.

"Rakyat perlu lihat apa yang BN buat selepas diberi kepercayaan untuk mentadbir negeri ini berbanding semasa pentadbiran parti pembangkang.  Mereke perlu beri kepercayaan kepada UMNO untuk mentadbir negara dan negeri pada PRU14 ini," katanya.

Ahmad Bashah bagaimanapun yakin peluang untuk BN menang pada PRU14 ini cerah, namun begitu beliau mengingatkan semua jentera perlu bersatu hati dan bersungguh-sungguh untuk menghadapi PRU14 ini. - Kedahnews.com