BUDAPEST - Atlet terjun Malaysia, Cheong Jun Hoong masih tidak percaya dia kini bergelar juara dunia apabila meraih pingat emas dalam acara 10 meter platform wanita di Kejohanan Akuatik Dunia di Budapest.
Pingat emas itu adalah yang pertama buat negara sepanjang penyertaan atlet dalam Kejohanan Akuatik Dunia berkenaan.
Lebih manis, Jun Hoong berjaya memecah dominasi jagoan China dalam acara 10 meter platform wanita berkenaan.
"Oh Tuhan, saya juara dunia!" kata Jun Hoong.
"Saya mengharapkan pingat, tetapi saya tidak menjangka mampu mengalahkan penerjun China," katanya.
Jun Hoong memenangi pingat emas itu selepas meraih 397.50 mata, menumpaskan juara Olimpik, Ren Qian yang sekadar berpuas hati meraih pingat gangsa (391.95 mata).
Pada kejohanan edisi 2015, Qian memenangi pingat perak acara itu.
Seorang lagi penerjun dari China, Si Yajie meraih pingat perak di belakang Malaysia dengan kutipan 396.00 mata.
Si Yajie yang tewas kepada Jun Hoong dengan perbezaan 1.50 mata mengakui terkejut dengan kekalahannya kali ini.
Ini kerana, penerjun dari China sudah lama mendominasi acara itu di kejohanan dunia dengan memenangi 22 pingat, melebihi 16 daripada negara lain.
"Kemenangan Cheong (Jun Hoong) agak mengejutkan saya, namun saya ucapkan tahniah kepadanya," kata Si.
Dalam aksi pagi tadi, Kim Kuk Hyang dari Korea Utara, yang memenangi pingat emas pada 2015 sekadar menduduki tempat keempat dengan 388.55 mata. - AFP