Jururawat Cuba Dibom Bekas Kekasih

 

KLANG – Umur seorang jururawat masih panjang apabila gadis itu cepat mengesan bunyi ‘beep’ berupa bom buatan sendiri yang dipasang di bampar kereta Proton Saga yang dipandunya dalam kejadian di Taman Damai, Kapar dekat sini kelmarin.

Semasa peristiwa pada pukul 10 malam, jururawat sebuah klinik swasta di pekan Kapar itu memandu seorang diri untuk pulang ke rumahnya di Taman Nesa, Kampung Simpang 3, Jeram, Kuala Selangor selepas bekerja.

Bagaimanapun, tidak berapa jauh memandu, P. Janagi, 27, berasa curiga apabila terdengar bunyi ‘beep’ yang tidak berhenti dari belakang keretanya.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor, Senior Asisten Komisioner, Fadzil Ahmat berkata, risau dengan bunyi ‘beep’ itu, gadis berkenaan singgah di rumah bapa saudaranya di Taman Damai dan meminta lelaki itu memeriksa punca bunyi tersebut.

Sumber: Kosmo