Kajian: Rasuah Terhadap Mahasiswa Mengejutkan


SHAH ALAM - Institut Integriti Malaysia (Intergiti), menzahirkan rasa bimbang berhubung hasil dapatan kajian 'Persepsi mahasiswa mengenai rasuah'.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Dr Anis Yusal Yusoff berkata, ada beberapa dapatan kajian mereka mendapati mahasiswa 'tidak kisah melakukan rasuah'.

"Apa merisaukan kita adalah apabila masih ada 35.8 peratus daripada responden yang menyatakan bahawa perbuatan penerimaan hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan adalah bukan satu kesalahan yang berbentuk rasuah," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sementara itu katanya lagi, sebanyak 28.1 peratus daripada responden pula beranggapan bahawa tidak menjadi kesalahan untuk mengambil harta/barangan pejabat seperti pemacu cakera, toner, kertas dan lain-lain untuk kegunaan peribadi.

Manakala, katanya lagi sebanyak 37.3 peratus daripada responden beranggapan bahawa mengemukakan tuntutan bagi tugas luar walaupun penginapan telah disediakan oleh pihak penganjur adalah suatu perbuatan yang tidak salah.

"Begitu juga bagi perbuatan 'menerima' hadiah dalam bentuk wang, barangan atau perkhidmatan sebagai balasan atas perkhidmatan yang diberikan,” sejumlah besar juga iaitu 35.8 peratus mengatakan itu bukan rasuah.

"Dan 20.6 peratus daripada responden pula beranggapan bahawa untuk “Terlibat secara langsung dalam proses pelantikan ahli keluarga untuk mengisi jawatan kosong di jabatan” sebagai perbuatan yang dibolehkan," katanya.

Justeru katanya, penemuan dari hasil kajian ini sekiranya dijadikan kayu ukuran, memerlukan kita untuk menyemak semula nilai apa yang dididik dan disemai dalam kalangan mahasiswa ini.

"Mungkin ianya telah bermula dari sekolah rendah lagi. Kita khuatir kalau mahasiswa yang mempunyai pandangan seperti yang dijelaskan di atas telah terpengaruh dengan idola yang salah," katanya.

Jelas, Anis lagi kajian yang dilakukan oleh Intergiti itu, dilakukan baru-baru ini, di mana sebanyak tiga buah responden daripada universiti awam negara terlibar iaitu, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan lain-lain Universiti.

Daripada jumlah 402 responden, 33.1 peratus adalah dari UKM, 47.5 peratus dari USM dan 15.9 peratus dari UiTM. Terdapat juga 3.5 peratus mahasiswa dari lain-lain universiti yang turut menjawab borang soal selidik kami.

Justeru, ujarnya lagi dalam menangani isu ini semua pihak harus memainkan peranan masing-masing kerana perkara ini berkait antara satu sama lain dan perlu dilihat secara menyeluruh supaya dapat mencapai matlamat.

"Kalau dilihat daripada satu aspek sahaja, kita akan abaikan yang lain dan ia boleh cetuskan masalah yang lebih besar pada masa hadapan. Kita perlukan satu ekosistem yang telus dan berintegriti untuk menyokong semua usaha kita ini terutama dalam usaha melaksanakan transformasi nasional 2050", tegasnya.

Sumber: Sinar Harian