JAKARTA – Penduduk Padangjaya, Kecamatan Majenang, Kabupaten Cilacap, Wilayah Jawa Tengah gempar dengan berita dahi seorang bayi yang memaparkan kalimah Allah dalam tulisan Arab.
Media tempatan melaporkan, bayi tersebut merupakan anak kepada pasangan Heriyono dan Tika Fia Diansari yang dilahirkan di sebuah hospital di bandar Majenang, terletak kira-kira 321 kilometer dari ibu kota Indonesia, Jakarta.
Menurut bapa bayi lelaki yang belum diberikan nama itu, kalimah di atas kening tersebut hanya disedarinya secara kebetulan dan pada mula disangka sekadar tanda lahir biasa atau dalam bahasa tempatan disebut sebagai toh.
“Subhanallah, ternyata setelah diperhatikan, kening anak saya ada lafaz Allah,” terang Heriyono, 27, kepada media. Isterinya yang baru berusia 23 tahun itu juga dilaporkan terkejut dengan kemunculan kalimah unik berkenaan.
Lebih menarik lagi apabila perkataan tersebut tampak bertambah jelas sekiranya dibacakan beberapa ayat suci al-Quran atau diperdengarkan suara azan dari sebuah surau yang berhampiran dengan rumah keluarga berkenaan.
“Ketika kami berada di Mulyasari, tujuh kilometer dari Padangjaya, kebetulan dekat juga dengan sebuah musola dan apabila kedengaran suara ngaji atau seruan azan, tanda di keningnya semakin kelihatan jelas,” ujar Heriyono lagi.
Beliau mendakwa tidak mendapat apa-apa mimpi atau petunjuk sebelum kelahiran anaknya itu, namun sebaik tahu Tika Fia hamil, Heriyono mengaku sering membacakan ayat al-Quran dekat perut isterinya dengan suara lembut.
Malahan lelaki tersebut yang merupakan seorang guru sandaran di Sekolah Dasar Negeri 3 Boja Kecamatan Majenang itu cuba berkomunikasi dengan anaknya yang masih lagi dalam kandungan sehingga dilahirkan.
“Saya baca dan cuba juga cari kedudukan anak saya, memang dalam kandungan pun anak kita sudah dapat berkomunikasi. Maka saya membaca al-Quran, ingin anak saya lahir soleh atau solehah,” ujar Heriyono.
Surah yang lazim diperdengarkannya ialah Surah Al Waqi’ah dan ketika membaca surah ke-56 dalam al Quran itu, perasaannya menjadi amat tenteram. Selain itu, dia turut kerap membacakan Surat Yusuf pada bakal bayinya.
“Bagaimanapun kalau Surat Yusuf, saya hanya baca kadang kala sahaja. Yang rutin (selalu) itu Surah Al Waqi’ah,” jelas bekas pelajar Pondok Pesantren Al Ishlah di Bandung, Jawa Barat itu apabila membuka cerita rahsia tersebut.
Ramai tokoh agama tempatan dilaporkan mendedahkan banyak kelebihan apabila membaca surah Al Waqi’ah kerana selain berharap reda Allah, ia dipercayai memiliki keistimewaan sebagi doa mendapatkan ilmu dan rezeki.
“Saya ingin anak soleh dan pintar. Mohon doanya ya, mas,” ujarnya yang juga ceria apabila lulus ujian akhir Sekolah Tinggi Agama Islam Tsufyan Tsauri di Cilacap dan menerima ijazah bulan depan. – Agensi