Pembabitan Kamal Adli, 31, dalam dunia lakonan bermula pada 2008 menerusi peranan kecil dalam siri drama Renjis tetapi watak utama sebagai Nik menerusi drama adiwira cereka sains Bio-Nik menyerlah namanya.
Hampir 10 tahun bergelumang dengan lakonan, banyak drama dan filem dibintangi anak muda kelahiran Bentong, Pahang ini.
Bercerita mengenai insan seni dikagumi, Kamal akui sangat meminati bakat dan karya dihasilkan Allahyarham Tan Sri P Ramlee.
Malah Kamal akui ia banyak mempengaruhi dirinya untuk menjadi anak seni versatil.
Kamal atau Ahmad Kamal Ahmad Adli berkata, sejak kecil dia didedahkan dengan karya P Ramlee kerana ayah dan ibunya memang meminati Allahyarham.
Katanya, mereka mempunyai hampir semua koleksi karya P Ramlee dan mendedahkan dia kepada lakonan Seniman Agung itu sejak kecil lagi.
“Bagi saya P Ramlee memiliki pakej lengkap sebagai anak seni. Kebanyakan filemnya walaupun ‘hitam putih’ tapi masih boleh ditonton anak kecil zaman sekarang.
“Bayangkan walaupun saya menonton filem arahan Allahyarham berpuluh kali, tetapi setiap kali menyaksikannya saya tetap ketawa. Karyanya tidak pernah membosankan,” katanya.
Kamal akui meminati filem-filem lama dan hampir semua bergenre komedi ditonton termasuklah yang menampilkan Mat Sentul.
Bagaimanapun padanya filem dihasilkan dan dilakonkan P Ramlee sangat istimewa dan menyifatkan Seniman Agung itu mempunyai magis yang tidak dimiliki pengkarya lain.
“Lebih daripada itu, saya akui pengaruh kuat untuk saya menjadi pelakon datang selepas saya didedahkan dengan karya dihasilkan P Ramlee,” katanya.
Mengenai karya dihasilkan P Ramlee yang paling diminati, Kamal akui boleh dikatakan hampir semuanya diminati terutama yang bergenre komedi.
“Filem drama berat dihasilkan Allahyarham juga menarik dan meruntun jiwa tetapi pada saya magis P Ramlee terletak kepada karya komedi.
“Paling saya rasakan membuatkan P Ramlee hebat sebagai pengkarya dan pengarah apabila dia mampu membuatkan setiap watak yang terbabit dalam filem dihasilkan menonjol walaupun ia hanyalah watak tambahan,” katanya.
Sepanjang bergelar pelakon, Kamal akui dia selalu menjadikan lakonan P Ramlee sebagai contoh dan dia sebaik mungkin cuba menjadi pelakon serba-boleh tidak terhad kepada satu genre saja apabila berlakon.
“Bayangkan apabila P Ramlee berlakon komedi, keserasiannya bersama pelakon yang turut berganding dengannya sangat kuat. Kita akan gelak sepanjang cerita.
“Walaupun ada pelakon beraksi di sebelahnya itu tidak kita kenali, aksi mereka turut memberi impak sama kuat dengan pelakon utama,” katanya.
Bagi Kamal, P Ramlee pandai mengerakkan watak sampingan seiring dengan watak utama menyebabkan kewujudan mereka sama penting.
“Kalau kita lihat pula filem-filem bergenre drama berat, kita dapat rasakan kepedihan atau kesedihan yang dilalui watak utama. Lakonan diberikan cukup memberangsangkan dan memberi impak,” katanya.
“Seperkara lagi, antara sebab filem atau karya P Ramlee diminati hingga kini kerana dialognya yang releven sehingga ia masih lagi boleh difahami anak muda sekarang,” katanya.
Dialog yang sentiasa malar segar dan semasa juga antara sebab yang dirasakan Kamal menjadi rahsia karya dihasilkan boleh bertahan dan diminat anak muda.
Katanya, walaupun mereka tidak lahir pada zaman filem-filem terbabit dihasilkan ia tetap difahami kerana dialognya tidak lapuk.
“Tidak seperti filem sekarang yang pada pandangan saya kurang memberi perhatian kepada dialog sehinggakan ada antara filem yang kita saksikan dialognya apabila diutarakan pelakon kedengaran pelik,” katanya.
“P Ramlee adalah pengkarya genius dan saya tidak mampu untuk meletakkan diri setinggi itu tetapi cuba menjadikannya sebagai contoh untuk memberikan yang terbaik dalam setiap filem mahupun filem lakonan,” katanya.
Sumber: MyMetro