“Kami Serius Pindah Ke Baitulmaqdis” - Naib Presiden AS


WASHINGTON  - Naib Presiden Amerika Syarikat (AS), Mike Pence mengulangi pendirian pentadbiran Presiden Donald Trump bahawa mereka serius mahu memindahkan kedutaan negara itu di Israel ke Baitulmaqdis.

Beliau juga menambah: “AS akan berdiri di belakang (menyokong) Israel, kini dan selama-lamanya.”

Menurut Pence, pihaknya berjanji bahawa satu hari akan tiba untuk Trump memindahkan Kedutaan AS dari Tel Aviv ke Baitulmaqdis.

“Ini bukan soalan tentang ‘sama ada kami mahu berpindah atau tidak’ kerana kami akan berpindah tetapi soalannya bila,” kata Pence dalam ucapannya semalam.

Pence membuat kenyataan tersebut semasa ucaptama di sidang kemuncak Kesatuan Kristian untuk Israel di Washington semalam, di mana beliau juga menunjukkan komitmen AS terhadap rejim Zionis.

Terdahulu, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dengan nada riak mahu seluruh dunia untuk mengiystiharkan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel.

“Ibu negara Israel adalah Baitulmaqdis. Semua kedutaan perlu berada di Baitulmaqdis,” ujar Netanyahu.

Dalam pada itu, pihak berkuasa Islam Jordan yang menguruskan urusan agama di Masjid Al-Aqsa, The Waqf berang dengan tindakan rejim Zionis yang memasang pengesan logam di kawasan tersebut.

Waqf bersama-sama dengan kumpulan Islam yang lain, mengeluarkan kenyataan semalam, menyeru umat Islam untuk menolak dan memboikot semua tindakan pencerobohan Israel.

“Sekiranya pengesan logam terus dipasang, kami menyeru orang ramai untuk mengerjakan solat di hadapan pintu pagar masjid dan jalanan,” kata kenya­taan tersebut.

Sementara itu, laporan portal Elaph melaporkan Raja Arab Saudi secara peribadi telah campurtangan untuk memastikan Masjid al-Aqsa dibuka semula setelah menghubungi pegawai AS.

Perdana Menteri Israel telah berjanji dengan pegawai AS untuk mengekalkan status quo Masjid Al-Aqsa se­perti mana yang dikehendaki oleh dunia dan penduduk Islam di Baitulmaqdis.

Netanyahu juga dilaporkan telah mempelawa pegawai kerajaan Arab Saudi melawat masjid tersebut dan menilai sendiri situasi di sana.

Sumber: Utusan Online