Karakter Upin Ipin Di Taman Rekreasi Pendang Dicabut


PENDANG - Sikap tidak bertanggungjawab sesetengah pengunjung di Laman Upin Ipin di Taman Rekreasi Pendang menyebabkan ada karakter kartun itu dicabut.

Pegawai Daerah Pendang, Zaid Ahmad berkata, sikap seperti ini harus dikikis dalam kalangan masyarakat kita supaya apa yang diusahakan oleh kerajaan dihargai sebaiknya oleh masyarakat.

Menurutnya, Majlis Daerah Pendang (MDP) kesal dengan apa yang berlaku dan berharap pengunjung lebih bersikap prihatin dan peka akan tanggungjawab mereka untuk sama-sama menjaga keindahan taman tersebut.

"MDP sudah membuat perancangan rapi di samping menggunakan peruntukan yang besar bagi mewujudkan serta menyelenggarakan laman tersebut," katanya.

Zaid berkata, Laman Upin Ipin tersebut baru sahaja siap sepenuhnya pada 3 April lalu dan mendapat sambutan orang ramai pada musim cuti dan juga pada waktu petang.

“Dilengkapi dengan peralatan senaman dan laluan joging membuatkan taman ini lebih tertarik untuk dikunjungi oleh orang ramai,” katanya.

Tambahnya, idea bagi mengadakan karakter Upin Ipin tersebut merupakan salah satu usaha pihak MDP bagi menjadikan Taman Rekreasi Awam Pendang sebagai pusat riadah dan tarikan pelancongan untuk masyarakat dari dalam dan luar daerah Pendang.

“Oleh demikian, adalah diharapkan agar seluruh masyarakat Pendang dapat turut sama memainkan peranan dalam membantu pihak MDP bagi menjaga keselamatan semua kemudahan awam yang telah disediakan.

“Kita juga sangat berharap dan mengalu-alukan sebarang aduan yang melibatkan vandalisme kepada pihak MDP,” katanya.

Sumber: Sinar Online