Kastam KLIA Tumpas Sindiket Penyeludupan Terbesar Rokok Melalui Laluan Udara Bernilai RM1.08 Juta



SEPANG - Jabatan Kastam Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berjaya menumpaskan sindiket penyeludupan rokok melalui laluan udara yang terbesar setakat ini melibatkan jumlah cukai sebanyak RM1.08 juta pada 28 Julai lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Bahagian Penguatkuasaan dan pematuhan), Datuk Zulkifli Yahya, Jabatan Kastam KLIA telah berjaya menahan sebuah kenderaan lori jenis bonded yang dipandu seorang suspek warga tempatan yang berumur 49 tahun yang lalu di hadapan Pos Malaysia International Berhad setelah membuat pengikraran dengan pihak kastam di Bahagian Pemeriksaan Kargo Import.

“Selepas membuat pemeriksaan, pihak kastam telah berjaya menemui sebanyak 2,145,000 batang rokok bernilai RM171,600 melibatkan jumlah cukai sebanyak RM1,080,651 di hadapan Pos Malaysia International Hub pada pukul 10 malam Jumaat lalu.

“Pihak kastam juga turut berjaya menahan dua lagi suspek warga tempatan yang berumur antara 38 tahun hingga 43 tahun yang terbabit dalam sindiket penyeludupan rokok,” katanya pada sidang akhbar berhubung kejayaan tersebut di Kompleks Kastam KLIA di sini hari ini.

Zulkifli menjelaskan, rokok yang ditahan tersebut telah tiba melalui penerbangan Kargo AirAsia dari Kemboja ke Kuala Lumpur dan diikrarkan sebagai ‘Consol’ atau pelbagai jenis barangan dan alamat yang digunakan adalah palsu.

“Modus Operandi sindiket ini ialah membawa dokumen yang berlainan daripada dagangan yang dibawa setelah melakukan pengikraran dengan pihak kastam. Dengan erti kata lain, tidak mempunyai dokumen pengikraran yang sah.

Sumber: Kosmo Online