Kawasan Kuching Dan Bau Negatif Rabies


KUCHING - Beberapa kawasan di bahagian Kuching dan Bau bebas dari penyakit Rabies setelah sampel yang telah diambil dari kawasan tersebut adalah negative.

Perkara itu dimaklumkan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak bagi Wabak Rabies menerusi satu kenyataan akhbar, semalam.

“Sampel anjing yang diambil adalah dari Bandar Baharu Samariang, Kampung Atas Singai, Kampung Mundai (Padawan), Kampung Rantau Panjang (Batu Kawa), Uni Garden, Kampung Peninjau Baru, Semariang Aman, Family Park, Xafa Villa dan Kampung Segedup,” kata JPBN.

Laporan keputusan persampelan dibentangkan kepada Timbalan Ketua Menteri yang juga Pengerusi JPBN Sarawak Datuk Amar Douglas Uggah Embas dalam mesyuarat jawatankuasa itu semalam.

Menurut JPBN, Kerajaan Negeri Sarawak telah mengisytiharkan beberapa bahagian di negeri ini sebagai kawasan wabak Rabies dan kuasa-kuasa yang telah diperuntukan di bawah Ordinan Kesihatan Awam Veterinar 1999.

Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak telah membenarkan pembelian vaksin Rabies yang diiktiraf oleh World Organization for Animal Health (OIE) dari luar Negeri Sarawak oleh pengamal veterinar swasta yang sah.

“Semalam program Pemvaksinan Anjing bagi mengawal penularan wabak Rabies telah diadakan di Kawasan Kampung Semeba, Kuching dan Kampung Rayang, Serian.

“Secara keseluruhannya, pemvaksinan telah dilakukan ke atas 129 ekor anjing yang menjadikan jumlah haiwan kesayangan yang telah divaksin sehingga hari ini adalah 22,584 ekor haiwan yang terdiri daripada 14,944 ekor anjing, 7,595 ekor kucing dan 45 ekor haiwan lain,” jelas Jurucakap JPBN.

Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak memaklumkan bahawa sebanyak 61 kes gigitan baru dilaporkan semalam iaitu di Serian sebanyak 19 kes gigitan, Bahagian Sri Aman 21 kes gigitan, dan Bahagian Kuching 21 kes gigitan.

Ini menjadikan bilangan kes kumulatif gigitan anjing yang berlaku mulai 01 April 2017 hingga semalam ialah berjumlah 1,221 kes. Secara kumulatif, seramai 691 orang telah menerima suntikan vaksin antirabies. 

Sumber: Sarawakiana