SELEPAS lebih seminggu kembali ke Persatuan Badminton Malaysia (BAM), ketua jurulatih perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek mula mengesan kelemahan-kelemahan yang ada dalam diri setiap pemain.
Paling ketara, legenda badminton Malaysia itu mengakui kecergasan pemain-pemain sedia ada belum berada pada tahap dimahukan tetapi beliau memuji sikap mahu belajar yang ditunjukkan anak-anak buahnya.
Katanya, para pemain masih tidak mampu untuk menangani intensiti yang ada dalam setiap kejohanan disertai, sekali gus menyebabkan mereka mudah berasa letih serta mengalami kejang otot.
“Apa yang saya boleh lihat setakat ini, ketahanan pemain-pemain negara belum berada pada tahap dikehendaki. Pemain perlu sekurang-kurangnya ada tenaga untuk menentang lima pemain kerana kejohanan biasanya memiliki enam pusingan.
“Ketahanan adalah perkara paling penting kerana pemain perlu beraksi pusingan demi pusingan. Mungkin riak wajah menunjukkan mereka sedia beraksi tetapi selepas beberapa ketika, mereka mula tunjukkan penurunan,” ujarnya ketika ditemui di Akademi Badminton Malaysia (ABM), Bukit Kiara, Kuala Lumpur semalam.
Tambah jurulatih berusia 57 tahun itu, kebanyakan pemain negara tidak mampu bertahan lama dalam sesuatu kejohanan apabila mudah berada dalam tekanan serta permainan mula goyah selepas melangkah ke peringkat lebih jauh.
“Ada pemain rasakan kecergasan mereka pada tahap terbaik tetapi apabila melangkah lebih jauh seperti ke pusingan ketiga badan mula rasa sakit, kaki tiba-tiba kejang. Bagaimanapun, saya lihat mereka terbuka untuk dibantu dan dilatih ke peringkat lebih tinggi,” jelas Misbun.
Mengulas mengenai pemain-pemain yang berada di bawah bimbingannya termasuk Iskandar Zulkarnain Zainuddin, Soong Joo Ven dan Soo Teck Zhi, Misbun tidak menolak kemungkinan ketiadaan latihan khusus menyebabkan prestasi pemain-pemain tersebut berada pada takuk lama.
“Saya tahu ada antara mereka pernah menjadi juara remaja Asia serta juara kebangsaan kerana dulu mereka dibentuk secara khusus. Apabila dinaikkan pangkat ke peringkat senior, mereka sekadar mengikuti latihan biasa sahaja.
“Apabila latihan khusus yang mereka jalani sebelum ini tidak berterusan, ia menyebabkan perkembangan mereka mendatar sahaja. Saya akan cuba kesan kekuatan masing-masing sebelum merangka latihan khusus kepada setiap pemain,” tambahnya.
Pada masa sama, Misbun menjelaskan, tujuannya memulakan latihan seawal 6.30 pagi pada setiap hari adalah sebagai langkah mengawal aktiviti serta mendisiplinkan para pemain.
“Kalau boleh saya mahu latihan dimulakan lebih awal tetapi dewan latihan hanya dibuka pada pukul 6.30 pagi. Sebaik sahaja dewan dibuka, saya mulakan latihan serta-merta kerana pemain sudah memanaskan badan.
“Saya ambil langkah begini bagi memastikan pemain-pemain tidur lebih awal dan mampu menjalani latihan tanpa sebarang masalah. Jika tidak buat seperti ini, mereka tidak akan rasa diperhatikan,” tegasnya lagi.
Sumber: Kosmo