Kecoh 3 Patung Dewi Naik "Business Class" Dari China Ke KLIA


BEIJING – Tular foto memaparkan tiga patung dewi China ditempatkan di kerusi penumpang kelas perniagaan dalam penerbangan dari Xiamen, China ke Kuala Lumpur, Malaysia baru-baru ini.

Namun apakah sebenarnya yang terjadi di sebalik kisah istimewa penerbangan XiamenAir ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) itu? Bayangkanlah ia mampu mengembara hampir 3,000 kilometer jauhnya!

Siapakah tiga ‘penumpang mulia’ dapat menaiki pesawat itu? Patung pertama dan paling menonjol ialah dewi laut, Mazu, atau disebut Matsu, yang lazim disembah masyarakat beragama Tao dan Buddha di kawasan selatan China.

Dewi ini juga disembah di negara-negara yang memiliki komuniti besar berkenaan seperti Malaysia, Vietnam, dan Taiwan. Ia dianggap sebagai penguasa laut dan dipercayai penganutnya sebagai melindungi nelayan dan pelaut.

Dua patung lagi ialah Qianliyan dan Shunfeng’er, yang merupakan penjaga dewi tersebut. Qianliyan terkenal dengan kekuatan jarak pandangnya jauh manakala Shunfeng’er memiliki kemampuan dengar semua suara dibawa angin.

Keistimewaan itu diyakini amat berguna untuk membantu golongan pelaut dan kapal mereka daripada ancaman badai. Persoalannya kenapa ia ditempatkan di kelas bisnes dalam pesawat syarikat berpusat di wilayah Fujian itu?


Tiga patung ini dihantar ke Malaysia dan Singapura sebagai sebahagian program pertukaran budaya untuk hormati dewi laut, menerusi festival khas. Ia dianjurkan sebuah badan di China yang disebut Kuil Kuno Meizhou Mazu.

Ironi, ramai pengguna media sosial mencetuskan pertanyaan cepumas bagaimana Dewi Mazu dan dua pengawalnya itu dapat bolos mudah daripada pemeriksaan keselamatan ketat oleh pihak berkuasa China dan Malaysia sendiri.

Foto-foto yang tersebar melalui media sosial memperlihatkan ketiga-tiga patung meninggalkan kuil tempat mereka tinggal sebelum ‘daftar masuk’ sebagai penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Gaogi di bandar Xiamen.

Petugas kuil tersebut memakluman kepada stesen antarabangsa BBC bahawa Dewi Mazu ditemani oleh lebih daripada 130 orang aktivis dengan menggunakan penerbangan biasa menuju ke KLIA di Sepang, Selangor.

Demi keselamatan, tiga patung itu sengaja ditempatkan di kelas bisnes dalam pesawat Boeing 737 penerbangan CXA 831 yang setiap satu tiketnya berharga 2,091 yuan (kira-kira RM1,322) serta mengambil masa hampir 5 jam.

Dengan bantuan staf kabin, tiga ‘penumpang’ mulia tersebut diletakkan di kerusi paling hadapan dan dipasang tali pinggang keledar. Ia mengambil kira risiko goncangan udara yang memerlukan patung dilekatkan kuat ke kerusi.

“Ini merupakan penghormatan atas budaya Dewi Mazu,” kata jurucakap organisasi yang menyambut tiga patung itu di Malaysia. Tingginya juga lebih hampir dua meter sekali gus memang patung harus terbang di kelas perniagaan.


Ketiga-tiganya juga mendapat tiket khas, yang menurut petugas kuil, turut diberikan secara ihsan oleh syarikat penerbangan. Patung ini berasal dari sebuah kuil laut suci di pantai wilayah Fujian, tempat kelahiran Dewi Mazu.

Di Malaysia, ia kemudian dibawa ke sebuah kuil milik Persatuan Hainan Wilayah Persekutuan dan Selangor iaitu Tokong Thean Hou Chinese seluas 1.67 ekar yang dibuka sejak 1989 di Lorong Bellamy, Seputeh, Kuala Lumpur.

“Ini merupakan tubuh daripada dewi agung kami, lambang daripada budaya rakyat,” kata salah seorang perwakilan kuil kepada BBC. Dia juga menambah, pelbagai acara diatur untuk merayakan ketibaan mereka dengan selamat.

Patung-patung itu kemudian akan dibawa pula ke Melaka dan dari sana ia menuju ke Singapura, sebelum kembali ke kampung halamannya di China. – Agensi