PETALING JAYA -Kecoh apabila sekeping gambar sebuah keluarga yang diambil di studio menimbulkan tanda tanya selepas ia dimuat naik di Instagram baru-baru ini sehingga netizen menganggap pasangan itu berpoligami pada usia muda.
Gambar yang dimuat naik di akaun Instagram 'fatihahfaizur' tersebut memaparkan seorang lelaki yang kelihatan muda bergambar bersama dua wanita muda dan lima kanak-kanak yang masih kecil.
Netizen beranggapan pemuda yang berbaju Melayu, lengkap bersampin dan songkok itu bergambar dengan dua isterinya yang muda, bersama lima anaknya – 'sulung' dalam lingkungan lima tahun sehingga paling muda kira-kira setahun.
Seorang pengikut Instagram memberi komen “Poligami ke ni? Awat muda beno dah berpoligami? Apapun tahniah, dua-dua cantik dan comel.”
Beberapa lagi terkejut melihat gambar pasangan itu yang mempunyai lima anaknya sambil memberikan komen, “Banyak anaknya.”dan “Semua kecil-kecil.”
Malah ada yang menyukai gambar ‘keluarga’ berkenaan yang disifatkan sebagai keindahan berpoligami.
“Indahnya poligami kalau perempuan faham.”
“Bukan semua perempuan boleh terima, jadi beruntunglah lelaki kalau dapat perempuan yang boleh terima.”
Bagaimanapun bagi yang mengenali ‘keluarga’ ini, kebanyakannya menjelaskan bahawa mereka sebenarnya adalah adik-beradik.
Hanya kerana jarak usia yang jauh antara adik-beradik, mereka dianggap sebagai suami yang berkahwin dua dan mempunyai ramai anak pada usia muda.
Menerusi tulisan di Twitter salah seorang ahli keluarga yang dirakamkan bersama dalam gambar tersebut, Fatihah Faizur menafikan dakwaan netizen bahawa ia adalah gambarnya bersama madu dan anak-anak.
“Gambar adik-beradik saya bertukar menjadi gambar keluarga. Hahaha,” kata Fatihah sambil ketawa apabila netizen beranggapan dia disangka sebagai isteri kedua.
Fatihah kemudiannya memuat naik sekeping gambar lagi menunjukkan gambar ‘keluarga’ berkenaan bersama seorang lelaki yang lebih berumur dan dua wanita.
“Inilah gambar keluarga saya. Harap gambar ini memperjelaskan keadaan sebenarnya,” katanya yang berusia awal 20an.
Fatihah memberi penjelasan mengenai dua keluarganya di laman sosial, susulan menjadi tanda tanya dalam kalangan netizen.
Difahamkan, lelaki berumur di dalam gambar itu adalah bapanya manakala dua wanita tersebut merupakan ibu kandung dan ibu tirinya.
Fatihah kemudian memuat naik lagi dua gambar keluarganya, kali ini gambar dia bersama dua beradiknya bersama bapa dan ibu, dan satu lagi menghimpunkan keluarga ayahnya dipercayai bersama isteri kedua bersama adik-adik tirinya.
Menerusi keterangan gambar-gambar tersebut, Fatihah berkata: “Kalau ingin tahu lagi, ini adalah kumpulan (keluarga) pertama dan satu lagi (keluarga) kedua.”
Jadi, tekaan netizen silap mengatakan dia berkahwin sebagai isteri kedua kerana ‘suami’ dan ‘madu’ tersebut merupakan adik-beradiknya.
Sumber: Mstar Online