Kedah Ada Peluang Cerah Pertahankan Kejuaraan

 Related image

ALOR SETAR - Pasukan Kedah dilihat mempunyai peluang yang sangat cerah untuk mempertahankan kejuaraan musim lalu apabila membelasah pasukan UiTM FC 5-0 dalam aksi kedua Kumpulan C Piala Malaysia.

Penjaring Lang Merah, Syafiq Ahmad berkata, berjaya meraih tiga mata penuh untuk kali kedua selepas mengalahkan Melaka United pada aksi sulung Selasa lalu meletakkan mereka sebagai peneraju kumpulan dengan enam mata.

“Saya gembira dengan kemenangan pertama di tempat lawan dalam kempen Piala Malaysia dan ini memberi motivasi kepada kami untuk menepati sasaran mempertahankan Piala Malaysia,” katanya ketika ditemui di Stadium Mini UiTM, Shah Alam, kelmarin.

Namun begitu, saingan sengit yang ditunjukkan oleh anak buah Wan Mustaffa Wan Ismail hampir mengucar-kacirkan berisan pertahanan Lang Merah  terutamanya di babak kedua.

“UiTM FC membuktikan mereka bukanlah pasukan yang mudah untuk ditewaskan. Mereka tidak berputus asa meskipun ketinggalan dua gol apabila mengubah taktikal dengan lebih menyerang pada babak kedua.

“Serangan mereka kerap kali memasuki kotak penalti kami dan secara tidak langsung meletakkan kami dalam tekanan,” katanya.

Skuad kendalian Nizham Adzha Yusoff dalam aksi tersebut tidak tunggu lama untuk merobek gawang tuan rumah seawal dua minit perlawanan dan kemudiannya diikuti dengan gol kedua menerusi pemain  import Liridon Krasniqi di minit ke-43.

Di Separuh masa kedua, Lang Merah sekali lagi mencipta gol menerusi Ken Ilso Larsen (m-79), Sandro da Silva (m-90) dan gol sendiri pemain tuan rumah Mohd Faiz Bandong beberapa saat sebelum tamat perlawanan.

Sementara itu, pengurus Datuk Jeffrey Low mededahkan kemenangan dua kali berturut-turut  yang diperolehi anak buahnya dalam saingan Piala Malaysia merupakan petanda mereka bangkit selepas tewas pada Perak 2-3 pada aksi Liga Super sebelum ini.

“Kita masih perlu mempertingkatkan kualiti persembahan kerana kita akan bertemu lawan yang lebih sukar selepas ini.

“Apapun, saya nampak semangat pemain yang begitu tinggi yang mahu mempertahankan kejuaraan,” katanya. - Kedahnews.com