"Kekalahan Paling Bermakna" Buat Pasukan Kedah

 

ALOR SETAR - Kekalahan agak memalukan yang dihadapi pasukan Kedah ketika menentang Perak di Stadium Darul Aman pada Sabtu lalu memberi tamparan hebat kepada mereka.

Pengendali pasukan Kedah, Mohd Nidzam Adzha Yudoff berkata, tewas 3-2 kepada Perak dianggap sebagai satu pengajaran buat skuad hijau kuning dalam menempuh baki saingan Liga Super.

Beraksi tanpa  lima pemain utama pasukan Kedah ternyata situasi tersebut memberi impak besar kerana skuad Helang Merah itu dilihat tempang dan patah sayap.

Jelas timbul kekecewaan di wajah jurulatih baharu skuad Kedah tersebut namun begitu beliau tidak berpatah semangat dan menganggap itu sebagai satu dugaan bagi dirinya.

"Kesilapan pertahanan telah menghadiahkan kemenangan kepada Perak dan nasib kita yang kurang baik juga membantut usaha pemain untuk menyamakan kedudukan.

"Pemain perlu menyedari kesilapan mereka dalam perlawanan itu dan kembali membaiki segala kekurangan untuk menghadapi perlawanan seterusnya selepas ini.

"Ketiadaan lima tonggak utama memang dirasai, tambah pula apabila Khairul Helmi Johari terpaksa dikeluarkan kerana kecederaan," katanya.

Namun begitu, Nidzam turut memuji semangat pemain-pemainnya kerana tidak mudah patah semangat dan bangkit mencari kemenangan meskipun pemain pertahanan pasukan tersebut tersilap langkah.

"Pemain layak diberi pujian kerana mereka telah melakukan yang terbaik ketika berusaha untuk menyamakan kedudukan pada babak kedua.

"Usaha mereka dihargai. Tetapi apa yang lebih penting sekarang kita perlu perbaiki segala kekurangan dan tidak mengulanginya.

"Kami akan memberi perhatian untuk perlawanan seterusnya dan akan pastikan tidak lagi tercicir mata untuk mencabar kedudukan terbaik dalam Liga Super," ujarnya. - Kedahnews.com