"MASIH tak cukup," itu komen penyerang import Kedah, Ken Ilso Larsen selepas perlawanan yang menyaksikan Kedah membelasah Kelantan 5-0 di Stadium Darul Aman.
Pemain kelahiran Denmark itu berkata, jumlah gol yang dimenangi Kedah dalam perlawanan Liga Super itu belum cukup untuk membuktikan kemampuan sebenar rangkaian serangan skuad hijau kuning.
Menurutnya, mungkin penyokong dan lawan menjangka prestasi rangkaian serangan dalam perlawanan itu adalah yang terbaik, namun sebenarnya masih ada yang perlu diperbaiki.
"Saya puas hati dengan corak permainan kami yang teratur, tetapi sebenarnya ia bukan daripada keupayaan sebenar kami.
"Kami sebenarnya mampu bermain lebih baik daripada apa yang telah ditunjukan.
"Tapi saya juga cukup puas hati dengan kesefahaman dan larian oleh rakan sepasukan lain. Mereka berjaya mengelirukan pemain lawan sehingga kami dapatmenjaringkan gol," katanya kepada mStar Online.
Dalam perlawanan itu, gol Kedah dijaringkan oleh Arif Farhan, Larsen (dua) dan Sandro Da Silva (dua).
Selain itu, Larsen turut berhasrat untuk tampil sebagai penjaring terbanyak Liga Super musim ini walaupun ia didominasi oleh Mohammed Ghaddar.
"Kejayaan saya menjaringkan 20 gol ini adalah hasil sokongan rakan sepasukan yang bijak mencipta peluang.
"Malah sokongan moral penyokong turut membantu saya untuk menjadi pemain lebih baik sejak tiba di Alor Setar awal musim ini," jelasnya.
Sumber: mStar