Kenapa Nabila Huda Tak Berlakon ‘Blok 404’?


SEJAK berita mengenai drama Blok 404 akan difilemkan, ia menjadi topik perbualan     peminat terutamanya kepada mereka yang pernah menonton karya itu ketika ia dikeluarkan dalam bentuk cakera padat video (VCD) sekitar 16 tahun lalu. 

Sayangnya, hanya tiga pelakon asal iaitu Zamarul Hisyam, Datuk Boy Iman dan Raja Azery akan membuat kemunculan semula manakala nama aktres Nabila Huda tidak tersenarai.

Boy Iman yang bertindak sebagai penerbit menjelaskan ketiadaan Nabila adalah disebabkan dia terikat dengan projek berbeza dan tidak dapat memberikan komitmen kepada filem itu. 

Kata Boy, pihaknya juga berasa kecewa ketiadaan Nabila dan telah berusaha sebaik mungkin untuk mendapatkan aktres itu namun rezeki tidak menyebelahi mereka. 

"Kami bagaikan satu keluarga dan banyak pengalaman dan memori indah yang dikongsi bersama. 

"Apabila timbul idea dengan projek ini sudah tentu saya mahukan semua pelakon asal sama-sama terlibat tetapi nampaknya hasrat itu tidak kesampaian. 

"Memang rasa terkilan dan kekurangan sebab tak dapat Nabila namun pasti ada hikmah disebaliknya," kata Boy kepada mStar Online. 

Boy ditemui pada majlis pelancaran filem itu yang diadakan di Hotel Concorde, Kuala Lumpur pada Selasa. 

Filem arahan Azma Aizal Yusoof itu turut membariskan pelakon seperti Amar Asyraf, Nadia Brian, Aedy Ashraf, Fasha Sandha, Nur Risteena, Syamsul Yusof, Kamal Adli, Ozlynn Waty, Taufik Hanafi, Riz Amin dan Adrea. 

Ia dijangka menemui penonton pada penghujung tahun ini. 

Dalam pada itu, Boy berkata dia yakin filem itu akan mendapat sambutan memandangkan Blok 404 telah menjadi satu jenama yang dikenali. 

Malah kemunculan ramai nama besar dalam filem itu dapat menjadi  pelaris dalam memikat penonton baharu ke pawagam. 

"Blok 404 masih mempunyai pengikut yang ramai dan fenomena drama itu sebelum ini telah menjadikan ia satu jenama dan diingati sehingga hari ini. 

"Letak siapa pun Insya-Allah orang akan datang tengok namun saya tidak menafikan barisan pelakon berpengaruh dan terkini memberi tambah nilai yang besar untuk menarik penonton," katanya. 

Tambah Boy, pihaknya menyasarkan Blok 404 bakal mendapat kutipan cemerlang di pawagam iaitu sebanyak RM8 juta. 

Sementara itu, pengarahnya, Azma Aizal  berkata, jalan cerita versi filem tidak mengikut cerita asal selain mempunyai lebih banyak elemen seram dan suspen dalam penceritaannya. 

Malah kata Isma, dia tidak menonton kembali drama asal kerana ingin mengelak daripada terikat dan terikut-ikut dengan teknik pembikinan asal. 

"Rasa itu masih ada tetapi demi menampilkan kelainan dan sesuatu yang segar kita tampil dengan jalan cerita baru. 

"Apa yang boleh saya katakan versi filem akan membuatkan penonton lebih rasa puas berbanding versi drama," katanya.

Sumber: Mstar Online