MIRI - Tiga wartawan melalui detik cemas apabila kenderaan pacuan empat roda mereka naiki untuk ke tempat liputan terbabas dan bergolek ke dalam gaung berhampiran kilometer 10, laluan balak di kem sebuah syarikat pembalakan.
Wartawan terbabit, Lee Cheng Choi dari akhbar See Hua Daily News; Liong Chai Ling (Utusan Sarawak) dan Ivy Ching (Sin Chew Daily) serta pemandu cedera ringan walaupun kenderaan itu bergolek lebih 10 kali memasuki gaung sedalam kira-kira 100 meter itu.
Mereka dirawat di klinik syarikat pembalakan itu.
Chai Ling berkata, kenderaan yang mereka naiki cuba mengelak daripada bertembung sebuah lori balak sebelum hilang kawalan dan terjunam ke dalam gaung kira-kira jam 12.20 tengah hari.
"Kenderaan kami bergolek lebih 10 kali. Mujur semuanya selamat," katanya. Semua wartawan itu dibawa balik ke Miri.
Tiga wartawan terbabit berkonvoi bersama dua lagi wartawan lain dijadual membuat liputan Pesta Nukenen Ke-12 yang bermula 28 Julai ini.
Pesta itu dijadual dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Amar Douglas Unggah Embas.
Perjalanan dari Miri ke Bario menggunakan laluan balak mengambil masa sekitar 12 jam dan cuaca kering dan berdebu sekarang melambatkan perjalanan.
Sumber: BH Online