Kepimpinan Baharu Pakatan Harapan Rapuh - Gerakan


KOTA BHARU - Parti Gerakan menyifatkan struktur kepimpinan baharu Pakatan Harapan sebagai rapuh dan kemampuannya diragui berikutan DAP selaku parti yang mempunyai bilangan anggota parlimen terbanyak dalam pakatan itu tidak diberikan sebarang jawatan tertinggi.

Presiden Gerakan Datuk Seri Mah Siew Keong berkata sepatutnya DAP diberikan kedudukan lebih baik dalam struktur kepimpinan tertinggi pakatan pembangkang itu.

"Saya pun terkejut sebab DAP ada 37 kerusi parlimen, Parti Keadilan Rakyat (PKR) 28 kerusi parlimen tetapi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) hanya satu kerusi parlimen tetapi pengerusinya (Pakatan Harapan) adalah daripada PPBM dan bukannya daripada DAP," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Gerakan Kelantan di sini, semalam.

Khamis lepas Pakatan Harapan mengumumkan struktur kepimpinan baharu yang diterajui Pengerusi PPBM Tun Dr Mahathir Mohamad selaku Pengerusi, Datuk Seri Anwar Ibrahim (Ketua Umum) dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (Presiden).

Pakatan itu turut menamakan Tan Sri Muhyiddin Yassin (PPBM), Lim Guan Eng (DAP) dan Mohamad Sabu (Amanah) sebagai timbalan presiden.

Mah berkata pakatan pembangkang itu boleh membuat pelbagai janji politik untuk meraih sokongan rakyat pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) namun dipercayai ia sukar untuk ditunaikan.

"Memang mudah untuk membuat janji namun fakta sekarang ialah kerajaan BN (Barisan Nasional) sedang berusaha untuk membangunkan ekonomi rakyat, kerajaan BN sedang bekerja kuat untuk mengatasi pelbagai cabaran," katanya.

Beliau berkata rakyat boleh menilai pakatan pembangkang tersebut dan beliau percaya rakyat akan terus memberi mandat kepada kerajaan BN untuk memerintah negara ini pada PRU-14.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman berkata penstrukturan dan pelantikan barisan tertinggi Pakatan Harapan itu adalah semata-mata untuk kepentingan pilihan raya umum.

"Saya tidak hairan dengan langkah yang dibuat itu kerana kita sudah kenal siapa mereka, sudah tahu kekuatan dan kelemahan mereka.

"Kita akan lawan habis-habisan, kita tidak akan mengalah kerana kita yakin BN lebih kuat daripada mereka," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Perwakilan Pergerakan Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO Bahagian Pengkalan Chepa di sini.

-Bernama