Kerajaan Malaysia Bakal Laksana Kaedah Baru Urus Sampah


KERAJAAN bakal melaksanakan kaedah baru pengurusan sampah berkonsepkan penggunaan teknologi hijau yang lebih inovatif serta mengaplikasikan konsep jual beli sampah bagi menjana pendapatan.

Ketua Setiausaha Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air (KETTHA) Datuk Seri Ir Dr Zaini Ujang berkata, kaedah baru itu akan menggunakan teknologi pengurusan sampah sisa kepada tenaga seperti dipraktikkan di Sweden.

“Di Sweden sekarang (mempraktikkan) 'circular economy' iaitu mereka menggunakan sesuatu sumber semaksimum mungkin di mana bahan terpakai seperti botol, kertas dan baju diproses sebelum dijana menjadi sumber tenaga seperti elektrik,” katanya.

Menurut beliau, pelaksanaan dan penjelasan konsep baru itu bakal diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata, inisiatif itu juga diharap dapat meningkatkan kesedaran menghayati budaya hijau dalam kalangan masyarakat di negara ini yang masih berada di tahap rendah.

“Masih ramai yang tidak mengasingkan sampah mengikut jenis dan apabila sampah bercampur, ia akan mengambil masa dan kos yang tinggi untuk proses pengasingan serta pelupusan.

“Jadi bila kita beli bahan terpakai (yang telah diasingkan) ini, proses untuk kitar semula menjadi lebih mudah,” katanya.

Terdahulu, beliau menyampaikan ceramah bertajuk 'Smart and Sustainable Cities' kepada lebih 200 peserta di Universiti Tenaga Nasional. - BERNAMA