Kereta Api Barang Tergelincir, 2 Jam Jalan Raya Sesak


JOHOR BAHRU- Kereta api barang milik Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) tergelincir dari landasan di Jalan Pekeliling, Pasir Gudang, semalam menyebabkan kesesakan lalu lintas hampir dua jam.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat berkata, pihaknya menerima panggilan kira-kira pukul 12.30 tengah hari yang membabitkan sebuah kereta api dari Pelabuhan Johor menghala ke Skudai tergelincir daripada landasan pada kilometer 29.50.

Insiden yang membabitkan kereta api dengan 31 gerabak yang dipandu oleh dua krew KTMB itu bagaimanapun tidak melibatkan sebarang kemalangan atau kematian.


Menurutnya, kerja- kerja mengalihkan kereta api itu berjaya diselesaikan kira-kira jam 2.05 petang dengan kerjasama KTMB, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Susulan insiden tersebut, kesesakan teruk dilaporkan di kawasan berkenaan namun kembali seperti biasa selepas kerja pengalihan kereta api selesai. –Kedahnews.com