Kerja Syif Punca Bercerai - CUEPACS


KUCHING - Kerja syif dalam sektor kesihatan awam menyumbang kepada kadar perceraian paling tinggi berbanding sektor pekerjaan awam lain.

Presiden Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS), Datuk Azih Muda, berkata kerja sehingga tiga syif menyebabkan tahap kepercayaan terhadap pasangan semakin menipis sehingga menjurus kepada perceraian.

"Kalau dulu rasa cinta 100 peratus, lama kelamaan rasa cinta terhadap pasangan semakin berkurang. Statistik yang kita dapat menunjukkan pekerja sektor kesihatan merekodkan kadar perceraian tinggi.

"Sudahlah kena kerja syif, elaun pula tidak dibayar sebaliknya diganti dengan cuti ganti. Buat apa cuti ganti, cuti yang dulunya pun belum ambil," katanya selepas menghadiri Bengkel Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Sektor Awam Sarawak, di sini.

Azih bagaimanapun tidak menyatakan statistik kadar perceraian yang didakwa.

Mengulas lanjut, beliau berkata, ada sektor awam tidak lagi membayar elaun dan kerja lebih masa, manakala sebahagian pula sekadar membayar separuh, satu pertiga atau tiga perempat daripada jumlah sebenar elaun yang ditetapkan.

Sumber: BH Online