GEORGETOWN - Siasatan awal polis mendapati kes bunuh seorang pekerja hotel yang mayatnya ditemui dalam rumah sewa di Blok J, Flat Padang Tembak, Air Itam, di sini, Rabu lalu berpunca daripada rasa tidak puas hati suspek yang mendakwa mangsa mencuri rantai emas milik ibunya.
Selain itu, suspek dikatakan sudah membeli satu beg besar yang dikatakan mahu digunakan mereka untuk mengisi mayat mangsa, tetapi tidak muat.
Menurut sumber, siasatan awal polis mendapati, seorang daripada suspek tidak berpuas hati kerana mendakwa mangsa mencuri rantai emas milik ibunya dan kemudian dia bertemu lelaki terbabit.
“Suspek bertemu mangsa kerana mahu menuntut ganti rugi daripadanya, namun mangsa enggan membayar membuatkan dia diserang dan dipukul.
“Difahamkan, suspek menggunakan topi keledar untuk memukul mangsa namun siasatan lanjut masih dijalankan,” katanya.
Dalam kejadian jam 9.30 pagi Rabu lalu, mayat M Sathiwil, 20, ditemui dalam rumah sewanya dengan keadaan kaki dan tangan diikat dengan menggunakan tali dan tubuhnya dibungkus cadar.
Hasil siasatan lanjut mendapati mangsa yang menyewa bilik di situ disyaki dipukul lima lelaki di koridor flat sebelum dibawa masuk ke dalam rumah jam 2 pagi.
Susulan itu, polis menahan empat suspek bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 302, Kanun Keseksaan.
Sumber : MyMetro