GEORGETOWN - Ambil baju dan seluar mangsa sebagai bahan bukti. Itu perkembangan terkini dilakukan polis dalam siasatan membabitkan kes cabul Pembantu Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Terubong terhadap seorang pelayan wanita di sebuah pusat hiburan, di sini, 6 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, selain itu, polis turut merakam percakapan beberapa saksi dan keluarga mangsa bagi melancarkan siasatan kes terbabit.
Menurutnya, polis turut melakukan kawad cam dan mendapati mangsa dapat mengecam suspek dan pihaknya turut menghantar rakaman kamera litar tertutup (CCTV) ke bahagian teknik (D6) untuk dianalisis.
“Kita sudah melengkapkan kertas siasatan yang seterusnya akan dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya Isnin ini,” katanya.
Sementara itu, dalam perkembangan sama, Mahkamah Majistret, di sini, semalam menolak permohonan polis bagi melanjutkan tempoh reman terhadap suspek kes cabul terbabit.
Perkara itu dimaklumkan peguam bela suspek, E Gnasegaran ketika ditemui di pekarangan Kompleks Mahkamah Pulau Pinang.
Gnasegaran berkata, permohonan itu ditolak Penolong Kanan Pendaftar, Kamarul Hasyime Rosli selepas pihaknya memaklumkan akan bekerjasama dengan polis sepanjang siasatan kes terbabit.
“Polis mengemukakan permohonan melanjutkan reman tiga hari terhadap anak guam kami bagi melengkapkan siasatan, selain turut berhasrat merakam kenyataan beberapa saksi lain.
“Bagaimanapun, kami memaklumkan mahkamah tiada keperluan untuk berbuat demikian, selain akan memastikan kehadiran suspek sekiranya dia dipanggil polis bagi membantu siasatan kes ini,” katanya.
Suspek yang berusia 50 tahun dibawa ke mahkamah jam 10.25 pagi.
Khamis lalu, suspek ditahan selepas hadir bersama peguamnya untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut (IPDTL) kerana didapati mencabul pelayan wanita yang baru sehari bekerja di sebuah pusat hiburan di Jalan Lebuh Pantai, 6 Julai lalu.
Mangsa yang berusia 21 tahun dipeluk dan dicium selain turut dipaksa melakukan seks oral dan juga ditawarkan sejumlah wang sekiranya sudi bermalam dengan suspek.
Sumber: MyMetro