Ketua Wartawan Sinar Harian Utara Difitnah Admin Facebook

 Tuduhan palsu aibkan beberapa individu

ALOR SETAR - Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, Roslinda Hashim dikhabarkan telah difitnah oleh sebuah laman Facebook yang dikenali sebagai Kedah Baqhang.

Menurut Roslinda, tuduhan keras yang dilemparkan terhadapnya dipercayai mempunyai niat yang tidak baik dan cubaan mahu membusukkan serta mengaibkan nama beberapa individu.

Susulan fitnah yang dilemparkan oleh admin Facebook terbabit, Roslinda telah membuat satu laporan polis dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Setar, pada 4.54 petang semalam.

Selain itu, dia menuntut supaya admin Facebook berkenaan membuat permohonan maaf secara terbuka selain menarik semula kenyataan berunsur fitnah yang dimuat naik pada Rabu, 28 Jun lalu.

“Pada Khamis, (29 Jun) lebih kurang 2 petang, saya menerima panggilan telefon daripada bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Syarikat Air Darul Aman (Sada), Datuk Adzmi Din memaklumkan tentang sebuah laman Facebook, Kedah Baqhang memuat naik kenyataan fitnah melibatkan diri saya,” katanya.

Setelah pemeriksaan dilakukan, dia mendapati terdapat beberapa kenyataan yang dimuatnaik ke laman Facebook berkenaan mengait tentang dirinya.

“Wartawan Sinar: Linda Hashim berapa banyak dedak anda dapat dengan siar berita palsu berkenaan isu air di Sik? Benarkah ada dakwaan dulu CEO Sada yang lama membayar anda RM2K sebulan? Apakah kerana CEO yang baru tidak lagi merasuah anda maka anda mahu jatuhkan Sada? Kebusukan anda sudah diketahui serata-rata” tulis admin Facebook berkenaan.

Jelas Roslinda, tuduhan serta fitnah terima rasuah yang dilemparkan tersebut jelas sekali kepada dirinya kerana ada menyebut nama dan juga jawatannya sebagai wartawan.

“Ini suatu tuduhan yang serius. Ia berniat jahat dan mahu mencalarkan imej saya selaku Ketua Wartawan Sinar Harian Utara, termasuk menjejaskan kredibiliti Sinar Harian,” katanya.

Terdahulu, akhbar Sinar Harian pernah menyiarkan tentang laporan masalah air di Sik, siaran Rabu, 28 Jun lalu.

“Kemungkinan ada pihak tidak berpuas hati terhadap laporan itu dan menuduh ia berita palsu, sedangkan berita itu ditulis berdasarkan kepada aduan penduduk terlibat. Laporan berita itu dibuat secara adil dengan menyiarkan maklum balas Sada, dalam laporan yang sama,” katanya.

Sehubungan dengan itu, pihaknya mendesak supaya admin Kedah Baqhang membuat permohonan maaf secara terbuka, serta menarik semula kenyataan berkaitan dalam tempoh 24 jam, dan jika gagal, tindakan susulan akan diambil. - Kedahnews.com