Khairy Mahu Takraw Sumbang Emas


PUTRAJAYA - Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yakin skuad sepak takraw negara mampu menyumbangkan dua pingat emas dalam temasya Sukan SEA 2017 bulan depan.

Khairy berkata sasaran yang diletakkan Kementerian Belia dan Sukan itu adalah realistik sekalipun sukan itu kini didominasi oleh Thailand.

"Saya yakin mereka (pemain) tidak akan mengecewakan kita," katanya semasa melancarkan Liga Sepak Takraw (STL) pada Selasa.

Sebanyak 12 pingat emas ditawarkan dalam acara sepak takraw Sukan SEA yang bermula pada 16 hingga 30 Ogos di Stadium Titiwangsa, Kuala Lumpur.

Skuad takraw Malaysia berjaya meraih emas dalam acara regu pada Sukan SEA di Singapura pada 2015, namun kemenangan itu kurang manis kerana musuh tradisi Thailand tidak menyertai acara berkenaan.

Sumber: Mstar Online