Kisah Abdul Hadi Dengan Fadzil Noor, Nik Aziz Yang Ramai Tak Tahu


KUALA LUMPUR – Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang tidak pernah memberi pandangan sendiri berhubung sesuatu isu politik sewaktu beliau menjadi Timbalan Presiden parti itu.

Veteran PAS, Subky Abdul Latif berkata, Abdul Hadi tidak akan mendahului bekas Presiden PAS, Allahyarham Datuk Fadzil Mohd Noor dalam urusan dasar mahupun pentadbiran PAS sewaktu beliau menjadi Timbalan Presiden.

Subky yang juga bekas Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan menjelaskan, dalam mengendalikan parti PAS, Timbalan Presiden boleh memberikan pandangan dan nasihat kepada Presiden.

“Sekali pun Abdul Hadi adalah Timbalan Presden, tetapi tidak memberi pandangan sendiri atas isu politik melainkan menjelaskan apa yang disarankan,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

Abdul Hadi ketika ini memegang jawatan Presiden PAS dan timbalan beliau ialah Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Subky dalam pada itu menerangkan, beliau tidak pernah mendengar bekas Mursyidul Am PAS, Allahyarham Nik Abdul Aziz Nik Mat bercanggah pandangan dengan Abdul Hadi.

Malah, kata beliau, sepanjang pengetahuannya Abdul Hadi adalah orang paling dihormati oleh Nik Abdul Aziz baik dalam aspek ilmu dan pimpinan.

“Saya diberi Allah peluang bekerja di bawah keempat-empat pimpinan ulama dengan gaya pimpinan yang berbeda,” katanya.

Pemimpin dan penyokong Pakatan Harapan sedang berusaha membangkitkan penentangan ahli PAS keatas pimpinan Abdul Hadi dengan menggunakan nama baik Nik Abdul Aziz.

Ia berikutan keengganan Abdul Hadi membenarkan DAP dan PKR menjadikan PAS sebagai batu loncatan untuk mereka merampas kuasa pemerintahan negara.

Abdul Hadi bertindak demikian selepas menyedari agenda tersembunyi Pakatan Harapan yang boleh menjejaskan kepentingan agama Islam dan kaum Melayu di negara ini. –Kedahnews.com