Kisah Kembar Sari Yang Pernah Gegarkan Bola Sepak Malaysia


Satu masa dahulu, kembar Sari pernah mengegarkan arena bola sepak tanah air. Kita ikuti kisah mereka kali ini yang sinonim dengan pasukan Sarawak dan juga pertandingan Piala Malaysia.

Sepak mula pertandingan Piala Malaysia 2017 akan bermula esok, dan 16 pasukan akan bertanding dalam 4 kumpulan untuk tampil sebagai dua pasukan terbaik dalam perlawanan akhir.

Kumpulan A terdiri daripada Pahang, T-Team, Negeri Sembilan dan juga PKNP FC yang juga merupakan pesaing baharu dalam pertandingan ini manakala Perak, Kuala Lumpur, Felda United dan PKNS FC diundi di dalam Kumpulan B.

Juara Piala FA 2017, Kedah diundi bersama pesaing baru, UITM FC bersama-sama dengan Melaka dan juga Kelantan dalam Kumpulan C.

Juara 33 kali pertandingan Piala Malaysia, Selangor ditempatkan bersama juara Liga Super selama 3 musim berturut-turut, Johor Darul Ta’zim (JDT) . Juara Piala Malaysia 2001, Terengganu dan finalis Piala Malaysia 1999 Sarawak melengkapkan 4 pasukan dalam Kumpulan D.

Pertandingan Piala Malaysia telah melahirkan ramai pemain bola sepak tanah air yang boleh kita kenang sebagai lagenda pada hari ini.

Kali ini, kita singkap kembali dua individu yang sinonim dengan pasukan Bujang Senang.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1999. Sarawak 1-2 Brunei. Perlawanan akhir Piala Malaysia yang mencatat sejarah tersendiri di dalam arena bola sepak tempatan. Pertemuan yang menampilkan dua pasukan dari kepulauan Borneo.

Pertama kali dan ia kekal sebegitu sehingga ke hari ini, menyaksikan aksi perlawanan akhir melibatkan dua pasukan dari pulau ketiga terbesar di dunia.

Ia bukan sekadar derbi. Lebih daripada itu, rakyat Malaysia yang tidak ingin melihat piala berprestij itu dirangkul oleh sebuah lagi pasukan jemputan, Brunei Darussalam.

Sebelum itu, Singapura menjuarainya sebanyak 24 kali. Kejuaraan terakhir adalah pada tahun 1994 sebelum pasukan “The Lions” menarik diri daripada bola sepak Malaysia untuk membina liga bola sepak mereka sendiri.

Perlawanan akhir Piala Malaysia 1999 juga adalah perlawanan terakhir piala terprestij di dalam arena bola sepak tempatan dilangsungkan di Stadium Merdeka, yang pernah menjadi stadium keramat skuad Harimau Malaya satu ketika dahulu.

Penjaring gol tunggal Sarawak pada masa itu ialah Ramles Sari. Nyatakan sahaja nama “The Sari’s Twin” kepada mana-mana peminat bola sepak di Sarawak, pasti akan terbayang kelibat lincah Ramles dan Ramos yang merupakan nadi utama serangan skuad Bujang Senang pada masa itu.

Ramles berjersi nombor 6. Ramos berjersi nombor 3. Ramles bermain sebagai sayap kiri. Ramos di sayap kanan.

Kedua-duanya gemar diturunkan serentak di dalam kesebelasan utama. Mudah untuk mereka memberi semangat untuk satu sama lain.

Persefahaman yang sudah terbina sejak kecil sering kali mengelirukan pasukan-pasukan besar pada masa itu. Selangor, Pahang, Singapura.

Semua pasukan tersebut pernah menjadi mangsa kelincahan pasangan kembar ini.

Dilahirkan pada 6 November 1967. Berasal daripada Sri Aman, Sarawak. Tempat asal usulnya lagenda buaya pembunuh dengan jolokan nama Bujang Senang iaitu di Batang Lupar.

Bakat kedua-duanya dikesan oleh pengurusan Sarawak FA yang diterajui oleh Alan Vest melalui pertandingan tempatan di sekitar bandaraya Kuching pada masa itu.

Ramos bermain bersama pasukan Hilton dan dipanggil utk menyertai sesi uji bakat pada tahun 1991. Debut pertama beliau bersama Sarawak ialah pada tahun 1992.

Ramos juga merupakan sebahagian daripada pemain utama skuad kebangsaan yang muncul sebagai naib juara Kejohanan Pesta Bola Merdeka pada tahun 2000.

Rekod jaringan 4 gol Ramos ketika membelasah Pahang dalam perlawanan Piala Malaysia 1997, turut kekal sebagai antara pemain tempatan dengan jaringan terbanyak dalam satu perlawanan sehingga ke hari ini.

Pemain import, Marlon Alex James menjaringkan 5 gol ketika membantu Kedah membelasah Melaka di peringkat suku akhir pertandingan tersebut pada musim 2007.

Selain daripada Ramos Sari, Akmal Rizal Rakhli juga merupakan penjaring tempatan yang pernah menjaringkan 4 gol ketika menentang PKNS dalam saingan Piala Malaysia 2004.

Berbeza dengan kembarnya, Ramles hanya menyertai pasukan Sarawak pada tahun 1996. Sebagaimana kembarnya, bakat beliau dikesan ketika bermain bersama pasukan Holiday Inn di dalam satu kejohanan tempatan.

Bermain di sebelah kiri, rembatan kencang kaki kirinya amat digeruni oleh penjaga gol lawan. Jaringan gol beliau ketika perlawanan akhir Piala Malaysia 1999 pasti akan dikenang oleh beliau sampai bila-bila.

Ramles dan Ramos Sari terus bermain bersama pasukan Sarawak sehingga musim 2006.

Pada hari ini Ramles dan Ramos masih giat di dalam sukan bola sepak. Kedua-duanya masih giat bermain untuk pasukan-pasukan tempatan maupun atas jemputan pasukan-pasukan veteran.

Kelincahan, kegigihan dan disiplin ketika di atas padang masih jelas kelihatan walaupun sudah berusia.

Ramles turut bertindak sebagai pengurus dan jurulatih untuk Kelab Finexsys yang dimiliki oleh usahawan, Sean dan Keiron Long. Kelab Finexsys juga merupakan ahli gabungan Persatuan Bolasepak Bahagian Kuching dan turut berfungsi mengetengahkan bakat muda dari Sarawak.

Ramles turut membawa pasukan Finexsys utk beraksi di dalam kejohanan tempatan antarabangsa di negara rantau seperti di Phuket International Soccer 7s dan Borneo Football Cup.

Ramos dan Ramles Sari membuktikan satu perkara kepada kita. Untuk menjadi seorang pemain bola sepak, anda perlukan disiplin yang baik di dalam maupun di luar padang,

Keluarga dan kumpulan pasukan pengurusan yang profesional adalah pemangkin dalam karier seorang pemain bola sepak. Pasti ramai peminat bola sepak tempatan, khususnya dari Sarawak rindu melihat kelincahan pemain seperti pasangan kembar ini.

Langkah Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS) mengetengahkan ramai bakat muda di dalam skuad Liga Super 2017 wajar dipuji.

Pemain seperti Tommy Mawat Bada (22 tahun), Nur Shamie Iszuan (21 tahun), Abdul Rahim Abdul Razak (22 tahun), Mohammad Hafiz Abu Bakar (22 tahun), Awang Kamaruddin Awang Bohan (22 tahun), Mohamad Alif Hassan (23 tahun) dan juga Rodney Celvin Akwensivie (20 tahun) di dalam skuad utama adalah satu langkah yang berani.

Apa pun perancangan pihak pengurusan Sarawak pada musim ini, ia jauh lebih baik daripada perancangan pengurusan terdahulu yang gemar mendapatkan pemain yang boleh dianggap ‘finish article’.

Kini terpulang kepada FAS, ketua jurulatih David Usop dan barisan kejurulatihan di dalam kem Bujang Senang untuk mengembalikan libasan yang hilang dari negeri Pulau Borneo itu.

Sumber: Semuanya Bola