POLIS Diraja Malaysia (PDRM) akan menempatkan 8,000 pegawai dan anggota bagi memastikan aspek keselamatan berada pada tahap maksimum sepanjang Sukan Sea ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017), Ogos ini.
Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Datuk Seri Zulkifli Abdullah berkata, persediaan rapi bagi menghadapi temasya sukan terbabit sudah dilakukan oleh Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
"Selain daripada tenaga kerja IPK Kuala Lumpur, kita turut mendapatkan bantuan dari kontinjen lain iaitu membabitkan lebih 4,000 pegawai dan anggota.
"Ini menjadikan jumlah keseluruhan keanggotaan yang bertugas sepanjang Sukan Sea ini ialah seramai 8,000 pegawai dan anggota termasuk pasukan trafik," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan di Stadium Akuatik, Bukit Jalil, Kuala Lumpur, semalam.
Turut hadir, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Amar Singh Ishar Singh dan Timbalannya, Datuk Mazlan Lazim.
Zulkifli berkata, semua pegawai dan anggota terbabit dilatih sebaik mungkin bagi memastikan keselamatan atlet, pegawai sukan dan pengunjung termasuklah pelancong dijaga dengan baik.
Katanya, pegawai dan anggota terbabit juga turut dilatih bagi melayan semua pengunjung sebaik mungkin.
"Ini penting kerana selain menjaga keselamatan, mereka juga seperti duta kecil kepada orang luar, di mana anggota bertugas juga boleh memberi penunjuk arah dan sebagainya untuk membantu pengunjung.
"Kita juga harap tidak berlaku kejadian jenayah terutamanya kepada pelancong dan tetamu yang hadir bagi menyaksikan Sukan Sea ini," katanya.
Sumber: MyMetro