PUTRAJAYA – Jabatan Imigresen tidak akan menghapuskan kompaun RM800 yang dikenakan terhadap setiap seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) dari Indonesia setakat ini seperti yang diminta oleh pemerintah negara itu.
Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Mustafar Ali berkata, penetapan denda itu adalah mengikut dasar yang telah ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini.
Bagaimanapun, katanya, beliau bersedia berbincang dengan Menteri Tenaga Kerja Indonesia, Hanif Dhakiri berhubung isu penghapusan kompaun tersebut.
“Pada masa sama, perkara ini perlu dibincangkan di peringkat dasar bersama Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi merangkap Menteri Dalam Negeri dan jemaah menteri lain,” katanya pada sidang akhbar selepas Majlis Jamuan Hari Raya Aidilfitri Jabatan Imigresen di sini semalam.
Sumber: Kosmo