Komponen BN Digesa Bantu UMNO Tawan Semula Padang Serai


PADANG SERAI - Parti-parti Komponen Barisan Nasional (BN) digesa bekerja keras bersama ahli-ahli UMNO untuk menawan kembali semua kerusi dalam kawasan Parlimen Padang Serai pada Pilihan Raya Umum Ke-14 akan datang.

Ini kerana lebih 50 peratus pengundi di kawasan itu merupakan pengundi Melayu, namun calon-calon yang bertanding pada PRU13 kebanyakannyaterdiri calon parti-parti komponen.

Gesaan itu dibuat oleh Anggota Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Hamzah Zainuddin semasa merasmikan Persidangan Perwakilan Wanita UMNO Bahagian Padang Serai di sini, semalam.

 "Parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) hendaklah berusaha bersama-sama dengan UMNO dalam memastikan kemenangan kali ini,  jangan biarkan UMNO sahaja menjalankan aktiviti atau program untuk menyokong calon BN.

"Sepatutnya mereka (parti komponen) bekerjasama dengan UMNO dan turun ke bawah atas tiket BN untuk memastikan kemenangan, " ujarnya beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan.

Beliau mahu segala isu yang dimainkan oleh pembangkang termasuk DAP dijawab dan menjelaskannya  perkara yang sebenar tentang apa lakukan oleh kerajaan kepada rakyat.

"Parti komponen patut bangun bersama dan 'serang' mereka (DAP) habis-habisan..," katanya kepada pemberita selepas perasmian persidangan itu.  

Pada PRU13, Parlimen Padang Serai dimenangi oleh N.Surendran dari PKR manakala Dewan Undangan Negeri (DUN) Merbau Pulas dimenangi oleh Datuk Siti Ashah Ghazali (PAS) dan DUN Lunas dimenangi Azman Nasruddin (PKR.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Bashah sebelum ini mahu rakyat  menilai kembali peranan wakil rakyat pembangkang terutama bagi kawasan Parlimen Padang Serai dan Parlimen Alor Setar yang sering 'hilang' di mata rakyat. 

Wakil-wakil ini hanya akan muncul semula sewaktu musim pilihan raya, kata Ahmad Bashah yang juga Pengerusi UMNO dan BN negeri Kedah.- Kedahnews.com