JURU - Satu video yang memaparkan sebuah kereta dipandu melawan arus sehingga menimbulkan kebimbangan pengguna lain mendapat kecaman daripada pengguna media sosial.
Video berdurasi 26 saat itu dipercayai dirakam oleh salah seorang pengguna jalan raya dan didakwa berlaku di hadapan Taman Pelangi menghala ke Autocity Juru.
Rakaman tersebut menunjukkan kereta berkenaan dipandu secara melawan arus dan hampir melanggar sebuah treler dari arah bertentangan.
Namun nasib menyebelahi pemandu tersebut apabila treler berkenaan berjaya mengelak dari merempuh kereta itu.
Duta Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) Negeri, Mohd Shukri Che Awang berkata, kejadian seperti ini menggambarkan sikap tidak bertanggungjawab dan pentingkan diri si pelaku ini.
Menurutnya, dia berpendapat perbuatan pemandu kereta tersebut amat tidak bertamadun, tidak bertanggungjawab dan sanggup menggadaikan nyawa bukan sahaja dirinya malah pengguna lain.
“Jika dilihat dari video yang ditular, jalan terbabit ada dua pembahagi. Sepatutnya jika pemandu tersebut memandu dalam keadaan waras dan bukan khayal atau bukan dalam mabuk, bagi saya kejadian ini sepatutnya tidak berlaku,
“Pemanduan melawan arus cukup membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain, andai berlaku kemalangan bukan saja si pelaku malah orang lain juga turut menjadi mangsa,” katanya.
Katanya, kejadian sebegini sepatutnya tidak berlaku memandangkan ia sudah kali ketiga berlaku di negeri ini.
Tambahnya, dirinya juga menyeru agar individu yang merakam kejadian agar melaporkan segera kepada polis.
“Saya menyeru kepada sesiapa membuat rakaman, ambil nombor pendaftaran tersebut dan diharap dapat membuat laporan kepada polis sebab kita nak bagi pengajaran kepada pemandu ini.
“Saya juga mencadangkan agar pelaku ini dikenakan hukuman setimpal, gantung lesen serta merta atau batalkan lesen seumur hidup, pihak berkuasa perlu terus ambil tindakan supaya kita buktikan kepada pengguna jalan raya supaya dapat ambil iktibar agar perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Abdul Hamid berkata, setakat ini polis belum menerima sebarang laporan mengenai kejadian.
“Setakat ini, belum ada laporan diterima, namun polis amat memandang serius mengenai kes ini dan pada masa sama polis berharap agar individu atau pengguna jalan raya yang melihat kejadian agar melaporkannya kepada pihak polis.
“Buat masa ini, lokasi kejadian tidak dikenal pasti, saya berharap agar orang awam dapat menghubungi pihak polis bagi memberi maklumat mengenai kejadian,” katanya.
Sumber: Sinar Harian