Lagu "Cover" Korea Shila Amzah Tular Di Luar Negara


SEOUL – Setelah mencipta nama di China, penyanyi kelahiran Kuala Lumpur, Malaysia ini mula pula melakar sejarah baharu di Korea Selatan menerusi beberapa lagu cover artis negara tersebut.

Lebih unik, penampilan elegan Shila Amzah, hijaber yang bukan sahaja cantik namun memiliki suara merdu itu semakin dikenali di negara ‘kimchi’ tersebut setelah tular menerusi laman perkongsian video popular YouTube.

Menurut portal antarabangsa, pemilik nama sebenar NurShahila Amir Amzah itu menerima sambutan luar biasa netizen Korea Selatan susulan kemunculan beliau menyanyikan semula lagu hit beberapa kumpulan band popular.

Ini termasuk video Shila, 26, menyampaikan lagu rancak Whistle milik kumpulan BlackPink yang dianggotai empat gadis cantik K-Pop dan berdurasi 3 minit 33 saat itu apabila sudah berjaya ditonton hampir 760,000 kali.


Malahan lagu cover Shila berjudul Beautiful berdurasi 3 minit 47 saat yang sebenarnya merupakan lagu runut asal daripada drama bersiri televisyen popular Goblin, setakat ini dilaporkan sudah pun ditonton lebih 820,000 kali.

Tidak ketinggalan ialah lagu Last Dance nyanyian Big Bang, sebuah kumpulan K-Pop terkenal dianggotai lima remaja lelaki yang dinyanyikan Shila berdurasi 4 minit 40 saat itu turut ditonton lebih 700,000 kali sehingga kini.

Kefasihan Shila yang merupakan bekas juara program nyanyian realiti Asia Wave pada 2102 lalu dan anak kepada penyanyi ND Lala itu mampu bertutur bahasa Korea dengan lancar juga ‘menuai’ pujian ramai netizen luar negara.

Apa yang unik, Shila masih lagi mampu mencipta populariti tersediri di peringkat antarabangsa di sebalik penampilan dirinya anggun berhijab kerana kelunakan suaranya cukup bersahaja. – Agensi