Lamborghini RM3 Juta Dipandu Remaja 16 Tahun Berlanggar

 Related image

PETALING JAYA – Sebuah kereta Lamborghini model Aventador bernilai kira-kira RM3 juta yang dipandu seorang lelaki terbabas sebelum melanggar dua buah kereta lain dalam satu kejadian di Jalan Persiaran Teknologi Subang, Subang Jaya dekat sini kelmarin.

Dalam kejadian pukul 5.55 petang itu, kereta mewah yang dipandu seorang lelaki tempatan dari arah Persiaran Jubli Perak dikatakan terbabas ketika membelok ke kiri mema­suki Jalan Persiaran Teknologi Subang.

Difahamkan, kereta mewah itu dipandu lelaki berusia 16 tahun yang mempunyai status anak orang kenamaan, namun tiada sebarang pengesahan berikutan pihak polis masih belum menerima laporan penuh kemalangan tersebut.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kereta tersebut terbabas lalu melanggar bahagian belakang sisi kiri sebuah kereta Perodua Myvi yang dipandu oleh seorang wanita.

“Akibat perlanggaran itu, kereta Lamborghini berkenaan hilang kawalan dan melanggar pembahagi jalan sebelum merempuh bahagian hadapan sebuah kereta Proton Persona yang sedang berhenti di lampu isyarat. Kereta mewah ni kemudian terbabas ke dalam longkang di bahu jalan.

“Kereta mewah itu serta Proton Persona itu mengalami kerosakan teruk akibat kemalangan tersebut manakala kereta jenis Myvi itu pula mengalami kerosakan kecil, namun tiada sebarang kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.

Sumber: Kosmo