Lapan Individu Ditipu RM430,000

 

SHAH ALAM – Laba yang diharapkan, bala yang datang. Begitu situasi yang dihadapi ibu kepada tujuh orang anak apabila habuan lumayan bernilai RM3,500 sebulan diimpikan menerusi pelaburan mata wang asing berkecai setelah ditipu pengendali skim terbabit sejak setahun lalu.

Asiah Husin, 36, berkata, dia terpaksa menggadaikan 17 barangan kemas peribadi berupa gelang, rantai, loket, cincin, anting-anting serta wang simpanan berjumlah RM15,000 bagi membuat pelaburan bernilai RM35,000.

Katanya, disebabkan tindakan tersebut, dia terpaksa mengalami kesukaran selama tujuh bulan bagi urusan keperluan harian sehingga terpaksa meminjam wang dengan saudara-maranya.

“Bukan senang untuk dapat wang banyak sebegitu dan saya pelik bagaimana boleh ditipu untuk melabur wang berkenaan.

“Sehingga kini, saya tidak pernah menerima habuan tersebut dengan alasan diberikan pengendali skim bahawa mereka berdepan masalah sebelum hilang melarikan diri,” katanya ketika ditemui di sini baru-baru ini.

Turut menerima nasib yang sama adalah tujuh lagi individu dengan nilai kerugian mencecah RM430,000.

Sumber: Kosmo