Lebih 100 Ahli Warisan Sabah Pimpinan Shafie Apdal Keluar Parti


BEAUFORT - Parti pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menerima tamparan terbaharu apabila lebih 100 anggota Parti Warisan Sabah (Warisan) Beaufort bertindak meninggalkan parti itu kerana hilang kepercayaan terhadap hala tuju dan perjuangan parti itu, khususnya di bahagian berkenaan.

Bekas Ketua Cawangan Warisan Kamarabau, Saidi @ Masden Kasneh berkata beliau dan anggota lain memutuskan untuk meneruskan perjuangan politik bersama Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat).

"Selain hilang kepercayaan kepada kepimpinan Warisan khususnya di bahagian, kami juga kecewa dengan sikap pemimpin parti itu yang tidak menghormati ahli yang banyak membantu mereka.

"Justeru, kami membuat keputusan dan pendirian untuk berjuang bersama Harapan Rakyat yang dipimpin oleh anak kelahiran daerah ini iaitu Datuk Seri Lajim Ukin," katanya ketika berucap pada Majlis Penerimaan Kemasukan Ketua-Ketua Cawangan Parti Warisan Sabah dan Ahli Jawatankuasa Penyelaras Parti Warisan Sabah Bahagian Beaufort ke Harapan Rakyat.

Majlis disempurnakan oleh Presiden Harapan Rakyat yang turut menerima kemasukan anggota cawangan Warisan Kampong Binunuk.

Warisan dan Harapan Rakyat adalah dua parti politik baharu di Sabah dan merupakan parti pembangkang. Warisan dipimpin oleh  Mohd Shafie, manakala Harapan Rakyat dipimpin oleh Lajim.

-Bernama