Lebih 160,000 Pemegang Kad Tukar Kepada Kad Baharu MyRapid Touch 'n Go


KUALA LUMPUR - Lebih 160,000 pemegang kad MyRapid telah menukar kepada kad baharu MyRapid Touch 'n Go (MyRapid TnG) sejak penukaran kad itu oleh Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) bermula pada 15 Jun.

Prasarana, dalam satu kenyataan pada Isnin berkata, lebih 40,000 daripada jumlah kad yang ditukar terdiri daripada kad konsesi untuk pelajar warga emas dan orang kelainan upaya.

Penukaran kepada kad baharu MyRapid TnG bertujuan untuk melancarkan perjalanan apabila menggunakan semua perkhidmatan Rapid KL termasuk Fasa Dua Petrkhidmatan MRT Sungai Buloh-Kajang yang akan beroperasi pada 17 Julai.

Fasa Dua MRT laluan Sungai Buloh-Kajang akan berintegrasi dengan LRT Laluan Kelana Jaya di Stesen Pasar Seni dan LRT Laluan Sri Petaling/Ampang di Maluri dan Plaza Rakyat.

Prasarana berkata oleh kerana sistem tiket MRT Laluan Sungai Buloh-Kajang hanya menerima token dan kad simpanan nilai Touch ‘n Go, pemegang kad MyRapid yang menaiki sistem MRT melalui rangkaian LRT akan menghadapi masalah ketika hendak keluar di stesen MRT.

Adalah penting bagi pemegang kad MyRapid untuk menukarkan kad simpanan nilai kepada kad baharu MyRapid TnG, kata kenyataan itu.

Untuk memudahkan proses penukaran kad, Prasarana telah membuka pusat tambahan penukaran kad di  Subang Jaya dan Awan Besar pada 21 Jun, stesen Sri Rampai (30 Jun) selain pusat utama di Hab Bas Pasar Seni yang dibuka setiap hari dari 7 pagi hingga 7 malam sehingga Sabtu ini.

“Warga emas dan orang kelainan upaya diberi keutamaan di ketiga-tiga stesen LRT semasa proses penukaran kad yang mengambil masa kurang 15 minit untuk siap,” kata kenyataan itu.

Walaupun penukaran kad konsesi hanya dibenarkan di keempat-empat pusat tersebut, penukaran kad generik MyRapid boleh dilakukan di Pejabat Perhubungan Pelanggan di stesen LRT, Bas Rapid Transit (BRT) dan monorel.

Penukaran kad konsesi dan kad generik adalah percuma. - BERNAMA