Lebih Ramai Peniaga Patuh Skim Kawalan Harga


SEBANYAK 74 kes membabitkan pelbagai kesalahan dikesan sepanjang Skim Kawalan Harga Musim Perayaan Hari Raya Puasa yang dilaksanakan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) bermula 17 sehingga 30 Jun lalu.

Pengarah Penguatkuasa KPDNKK, Datuk Mohd Roslan Mahayudin berkata, jumlah itu membabitkan rampasan berjumlah RM7,192.98 dan kompaun sebanyak RM9,100.

Beliau berkata, jumlah itu mencatatkan penurunan ketara berbanding tahun lalu iaitu sebanyak 412 kes membabitkan nilai RM40,800 dan kompaun bernilai RM59,940.

Katanya, penurunan itu disebabkan oleh pemantauan dan penguatkuasaan yang berterusan di samping ramai peniaga yang mematuhi harga kawalan yang ditetapkan.

"Pada tahun ini, sebanyak 23,661 pemeriksaan dijalankan ke atas premis perniagaan seluruh negara merangkumi 22,729 pemeriksaan ke atas peruncit dan 932 pemeriksaan ke atas pemborong.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 74 kesalahan direkodkan membabitkan rampasan bernilai RM7,192.98 dan kompaun sebanyak RM9,100," katanya pada sidang media di Pejabat KPDNKK cawangan Sungai Petani, di Sungai Petani, hari ini.

Hadir sama Ketua Pegawai Penguatkuasa KPDNKK Kedah, Shamsul Nizam Khalil.

Beliau berkata, antara kesalahan yang dilakukannya peniaga adalah disebabkan gagal menggunakan tanda harga khas merah jambu dengan jumlah 54 kes dikesan, 16 kes membabitkan tiada tanda harga dan empat kes membabitkan peniaga menjual melebihi harga siling.

Sumber: MyMetro